Prestasi semasa pemain sayap Kuala Lumpur, Yong Kuong Yong telah menarik perhatian ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal untuk diserapkan ke dalam senarai awal 26 pemain skuad kebangsaan yang akan menjalani latihan pusat bermula 28 September 2011 hingga 4 Oktober 2011 untuk berhadapan dengan pasukan Naib Juara Piala Asia 2011, Australia. Perlawanan tersebut akan diadakan pada 7 Oktober 2011 di Canberra, Australia sebagai persiapan pasukan tersebut untuk menentang Thailand.
Mengejar penampilannya yang ketiga bersama skuad kebangsaan setelah membuat penampilan sulung pada tahun 2010 ketika menentang pasukan Yemen. Selepas mendapat caps pertama itu, nasib tidak menyebelahi Kuong Yong apabila nama beliau kerap kali tercicir akibat mengalami kecederaan lutut.
Setelah merekodkan 3 gol sepanjang kempen Piala Malaysia dan hampir membantu Kuala Lumpur layak ke suku akhir sejak 1992, Kuong Yong kini dilihat berada dalam prestasi terbaik dan bersedia untuk memikat perhatian jurulatih.
Kuong Yong dipetik berkata, “Pasukan kebangsaan kini dibarisi pemain yang berkualiti serta telah membentuk persefahaman jitu diantara mereka. Oleh itu, peluang ini akan saya gunakan untuk membuktikan kepada jurulatih pada sesi latihan bahawa saya mampu beraksi dengan lebih bagus berbanding pemain yang sedia ada.
Selain itu, saya juga bertekad untuk membentuk persefahaman yang baik diantara kami yang terpilih, supaya dapat memberi tentangan yang sengit ketika menentang Australia kelak. ”
Kuong Yong beranggapan bahawa pasukan Malaysia masih mampu mencipta kejutan ketika menentang pasukan Australia nanti, meskipun dengan ketiadaan ketua pasukan, Safiq Rahim yang digugurkan.
Di kem bolasepak negara pula, Datuk K. Rajagobal, telah membuat keputusan yang drastik dengan menggugurkan nama-nama besar seperti Ketua Pasukan Kebangsaan, Safiq Rahim, pemain tengah Selangor, Amirulhadi Zainal dan pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abdul Radzak.
Ditanya mengenai perancangan musim hadapan, Kuong Yong berkata, “Kontrak saya bersama Kuala Lumpur akan tamat pasa musim ini. Keputusan untuk kekal atau berhijrah akan saya putuskan nanti sebagai menghormati kontrak saya dengan majikan.”
Tanpa berselindung, Kuong Yong mengakui sudah dihubungi beberapa pegawai pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya. Difahamkan The Red Warriors berminat untuk memancing Kuong Yong.