HARAPAN MASIH ADA



TENANG...Kim Swee (kiri) dan Khairul Fahmi (kanan)  mengepalai skuad Olimpik tiba di KLIA, semalam.
TIDAK guna meratapi kegagalan sebaliknya jurulatih Ong Kim Swee menuntut anak buahnya bangkit menerusi dua perlawanan di laman sendiri menentang Syria dan Bahrain, November ini bagi menghidupkan peluang mereka dalam kempen kelayakan Olimpik London 2012.

Bagaimanapun tugas lebih getir menanti pengendali negara itu bukan saja selepas Malaysia tumpas 0-2 di tangan Jepun pada aksi pembukaan Kumpulan C kelmarin, sebaliknya beliau terpaksa berdepan dua misi penting dalam satu masa.

Fokusnya bukan saja terarah kepada kempen kelayakan Olimpik, sebaliknya mempersiapkan pasukan bawah 23 tahun negara mempertahankan pingat emas Sukan Sea di Indonesia, November ini.

“Sekarang keutamaan saya membentuk pasukan menghadapi Sukan Sea, tapi dalam masa sama saya perlu pastikan pemain skuad Olimpik dalam keadaan terbaik.

“Pemain kita masih kurang pendedahan dan perlawanan berkualiti berbanding pemain Jepun yang beraksi dalam Liga-J setiap minggu.

“Kalau boleh memang saya nak mengadakan perlawanan setiap minggu untuk skuad Olimpik tapi saya juga kena fikirkan mengenai Sukan Sea kerana saya akan membawa pasukan berbeza walaupun majoriti pemain skuad Sukan Sea adalah pemain Olimpik,” katanya yang ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Fukuoka semalam.

Tambah menyukarkan perancangan Kim Swee, 41, apabila beliau tidak mempunyai banyak masa membuat persiapan menghadapi Syria bagi aksi kedua meskipun pasukan itu bersetuju menunda tarikh perlawanan kepada 24 November.

Ini kerana jika Malaysia mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir Sukan Sea, mereka bakal beraksi pada penentuan tempat ketiga atau final pada 22 November.

“Saya masih tak pasti sama ada Syria setuju untuk meminda tarikh perlawanan daripada 23 November kepada 24 November.

“Jika mereka bersetuju sekalipun saya hanya mempunyai tempoh sehari untuk mempersiapkan skuad Olimpik sebelum menentang Syria selepas Sukan Sea berakhir,” katanya.

Selepas tewas kepada Jepun 0-2 di Stadium Tosu, kelmarin, Malaysia akan meneruskan kempen merebut slot ke London bertemu Syria pada 23 atau 24 November dan Bahrain (27 November) di Kuala Lumpur.