Kim Swee akur kekuatan Samurai Muda

SEBAHAGIAN penyokong pasukan negara yang hadir menyaksikan perlawanan  Malaysia bertemu   Jepun   di Stadium Tosu, semalam.
Sebahagian penyokong Malaysia memberi sokongan kepada skuad negara

PENGENDALI skuad bawah 23 negara, Ong Kim Swee mengakui Jepun mendedahkan begitu banyak kelemahan dalam skuad Harimau Muda sepanjang saingan 90 minit di Stadium Tosu, Wilayah Saga di Pulau Kyushu, malam tadi.


Pada pengamatannya, pemain Malaysia perlu bekerja keras andai mahu mencari sesuatu dalam saingan Kumpulan C, kelayakan Olimpik bertemu dua lagi seteru, Bahrain dan Syria dalam kumpulan yang sama.

“Jepun diakui cukup bagus, pantas dan sukar untuk memberi tentangan. Inilah bezanya antara pasukan yang bagus dengan pasukan yang kurang bagus,” kata Kim Swee. “Banyak yang boleh dipelajari untuk dijadikan bekalan bagi cabaran seterusnya.

“Saya berpendapat semua pemain sudah beraksi dengan baik termasuk penjaga gol, Khairul Fahmi (Che Mat) yang bermain dengan baik untuk membataskan jumlah jaringan Jepun dan menyusun benteng pertahanan.

Jepun memperoleh gol pada setiap babak, menerusi gol pembukaan pada minit ke-10 menerusi Hiroshi Kiyotake sebelum pemain gantian Ryohei Yamazaki memastikan kemenangan selesa 2-0 pada minit ke-78.