Selangor Tersungkur


HASRAT Selangor untuk meraih kemenangan pada perlawanan pembukaan Kumpulan D saingan Piala Malaysia tidak kesampaian apabila ditewaskan T-Team 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

Jaringan tunggal Nor Fazly Alias pada minit ke-73 sudah cukup untuk membolehkan kelab dari Terengganu itu mencatatkan kemenangan ketiga ke atas Selangor musim ini termasuk dua pertemuan dalam saingan Liga Super sebelum ini. Kekalahan terbabit menyaksikan Selangor yang melancarkan 'Misi 33' semakin terdesak untuk memburu gelaran Piala Malaysia kali ke-33 selepas terlepas tiga piala musim ini.

Percaturan pengendalinya, K Devan meletakkan Mohd Amri Yahyah dan Mohd Safiq Rahim untuk mengetuai jentera serangan selain posisi pemain pertahanan kiri Harimau Malaya, Mohd Asraruddin Putra Omar yang beraksi di bahagian sayap masih belum membuahkan hasil yang diharapkan walaupun skuad Merah Kuning itu mencipta beberapa peluang keemasan untuk mendahului lawan.

T-Team yang turut mendapat beberapa peluang pada peringkat awal permainan untuk menjaringkan gol akhirnya membuka jaringan menerusi rembatan kencang Nor Fazly untuk menewaskan penjaga gol Selangor, G Jeevanthan selepas pemain pertahanan Selangor gagal mengeluarkan bola dalam kawasan kotak penalti.

Gol terbabit nyata membangkitkan semangat T-Team yang kemudiannya mendapat dua peluang terbaik menambah derita Selangor namun dua pemain berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin dan Norfarhan Muhammad gagal disudahkan dengan baik.