Johor Gagal Raih Tiga Mata

PEMAIN Johor, Ashraf Al-Japri (tengah) diasak dua pemain Kedah, Mohd Sabre Abu (kanan) dan Amar Ridzuan pada perlawanan Kumpulan A Piala Malaysia  di Stadium Larkin, malam tadi. Kedah menang 2-0.

JOHOR gagal dalam misi memburu tiga mata selepas tewas kepada Kedah 2-0 dalam aksi Kumpulan A kempen Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunus di Larkin, malam tadi.

Walaupun pada awal saingan Johor yang dibimbing Azmi Mohamed memiliki peluang mencipta jaringan, sepakan percuma Mohd Shoufiq Khusaini sekadar tersasar dari pintu gol.
Sebaliknya, Kedah mengambil kesempatan daripada kelekaan benteng pertahanan Johor dengan mencipta gol pada minit keenam apabila Mohd Khyril Muhymeen menggelecek dua pertahanan tuan rumah sebelum merembat bola leret untuk menewaskan penjaga gol, Mohd Syamim Othman. 

Biarpun berpeluang menyamakan kedudukan pada babak pertama menerusi Ashadi Mohd Yusof (m-15) yang menerima hantaran lintang Mohd Shoufiq, pemain pinjaman dari Tentera itu gagal merembat tepat ke arah gawang pelawat. 

Barisan bimbingan Wan Jamak Wan Hassan yang tampil dengan status bekas juara empat kali tetapi kali terakhir mengucup piala berprestij itu pada 2008, terus mengukuhkan kedudukan pada babak kedua dengan satu lagi gol Mohd Khyril, 10 minit sebelum tamat untuk memastikan Kedah berada di puncak Kumpulan A. 

Sementara itu, aksi di Stadium Pasir Gudang menyaksikan `si adik' Johor FC turut tewas dalam saingan Kumpulan C selepas tunduk 2-0 kepada FELDA United. 
Ketika aksi babak pertama berbaki seminit, penyerang FELDA United, Mohd Farderin Kadir melonjak tinggi untuk menanduk masuk sepakan sudut Mohd Syazwan Zainon. 

Mohd Farderin terus menambah derita skuad Lebah apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-67 selepas bijak menewaskan penjaga gol, Mohd Anis Faron.