Polis gagal sekat Kuala Lumpur di laman sendiri

POLIS gagal memanfaatkan kelebihan di halaman sendiri apabila kecundang kepada Kuala
Lumpur, 3-0 dalam saingan pembuka tirai Kumpulan D, Piala Malaysia, di Stadium Tuanku
Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Kuala Lumpur membuka tirai jaringan menerusi jaringan sendiri Mohd Azrul Azman yang
tertampan bola sepakan Mohd Farid Ramli di minit ke-44 dan menewaskan penjaga gol mereka,
Mohd Alhusaini Ibrahim, untuk Kuala Lumpur di depan.

Begitupun pada sebahagian besar babak pertama tiada percubaan berbahaya daripada
kedua-dua pasukan dan peluang tuan rumah hadir pada minit ke-34, namun sepakan Shahrulnizam
Saparuddin ditangkap kemas penjaga gol Kuala Lumpur, Norazlan Razali.

Polis yang ketinggalan pada babak pertama melancarkan serangan sebaik babak kedua bermula
menerusi penyerang mereka Mohd Fauzi Abd Majid dan Mohd Afif Amiruddin, namun beberapa
percubaan yang dilakukan di pintu gol pelawat tidak menepati sasaran.

Pertahanan Kuala Lumpur diterajui Mohd Badrul Hisham Azmi dan Mohd Farid Ramli kebal mematahkan
serangan tuan rumah yang berusaha merapatkan jurang.

Namun tuan rumah terus dirundung malang apabila Mohd Alhusaini dilayangkan kad merah oleh
pengadil Mohd Juhairi Idris pada minit ke-61 selepas menjatuhkan Yong Koang Yong dalam kotak penalti.
Sepakan dilakukan Mohd Badrul Hisyam Azmi berjaya menewaskan penjaga gol gantian, Mohd Hamdan
Sairi untuk Kuala Lumpur selesa di depan.

Keghairahan Kuala Lumpur mendapatkan jaringan besar terus lancar apabila anak buah Mohd Razip
Ismail melancarkan serangan bertali arus dan Yong Koang berjaya mencatat nama sebagai penjaring
apabila memanfaatkan peluang hantaran Badrul Hisyam untuk gol ketiga pelawat pada minit ke-76.


Usaha tuan rumah untuk merapatkan jurang tidak kesampaian sehingga visel penamat dan Kuala
Lumpur pulang ceria apabila meraih mata penuh.