Fernandes sudah hantar video pemain Malaysia ke QPR




KUALA LUMPUR, (D5) - Pemilik baru kelab Queens Park Rangers (QPR), Tan Sri Tony Fernandes menyatakan kesediaannya untuk mengadakan kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk meningkatkan mutu bola sepak tempatan.

Tony berkata pihaknya turut bersedia memberi peluang kepada pemain-pemain negara untuk mengikuti latihan bersama kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris itu.
"Sebelum ini, kami sudah menghantar video aksi pemain Malaysia ke sana untuk melihat kemungkinan potensi yang ada. Saya tidak menolak akan wujud kerjasama ini. Malah kita memiliki masa yang panjang untuk berbincang mengenai hal ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media dan Anak Yatim di salah sebuah hotel di ibu kota.
Tony turut menambah: "Kelab ini masih lagi dalam peringkat "pembinaan". Seperti yang saya katakan sebelum ini, QPR adalah seperti berlian mentah.
Ditanya samaada QPR akan menandatangani pemain baru sebelum tamat sesi perpindahan beliau berkata ia kemungkinan akan berlaku tetapi terpulang kepada pengurus Neil Warnock untuk membuat keputusan. Beliau turut enggan menyatakan nama pemain dan berapakah jumlah yang disediakan.
"Saya bukanlah pengurus ataupun jurulatih untuk menentukan perkara ini. Dalam Formula Satu juga, saya tidak tahu bagaimana untuk melajukan kereta. Tetapi saya berjanji akan menyokong kuat usaha-usaha ini.
"Keutamaan saya ialah memastikan kita kekal dalam Liga Perdana Inggeris, menyokong sepenuhnya pengurus dan pengurusannya agar mereka boleh menjalankan tugas sebaik mungkin serta mewujudkan akademi pembangunan untuk masa depan," katanya.
Fernandes, yang juga merupakan pemilik Team Lotus, mengambil alih QPR selepas membeli 66 peratus kepentingan Bernie Ecclestone dan Flavio Briaotere yang merupakan pemegang saham utama kelab itu.