Terengganu Yakin Julang Piala Malaysia

Pasukan bola sepak Terengganu akan menjalani latihan intensif termasuk pada bulan puasa bulan depan sebagai persediaan untuk menjulang Piala Malaysia tahun ini.

Pengurus pasukan Datuk Che Mat Jusoh berkata latihan akan bermula sebaik sahaja pemain pulang daripada lawatan ke London yang merupakan hadiah kerajaan negeri berikutan kejayaan Terengganu muncul juara Piala FA musim ini.

"Mungkin kita akan mengadakan lawatan ke luar negara sebelum Ramadan ini.

Ia sedang diuruskan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK)," katanya kepada Bernama di sini Sabtu.

Che Mat yang juga Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata sasaran Terengganu ialah untuk membawa pulang Piala Malaysia tahun ini.

Katanya ini berdasarkan kejayaan Terengganu menjadi juara Piala FA dan juga naib juara Liga Super tahun ini.

"Saya bangga dengan pemain saya yang ada dan saya yakin Terengganu akan membawa pulang piala yang berprestij itu tahun ini," katanya.

Beliau berkata pihaknya mungkin akan menyediakan pakar motivasi bagi memberi motivasi kepada pemain sebelum menghadapi kejohanan itu.