MALAYSIA LWN ARSENAL : Mat Yo Sedia Gegar, Safee Tidak Beraksi



"SAYA mahu cari kepuasan gegar gawang Arsenal dan Liverpool,” kata Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo menjelang perlawanan Harimau Malaya menentang kedua-dua kelab Inggeris tersohor itu, minggu depan.

Ketika detik kecewa gagal memenangi Kasut Emas masih terasa, penyerang Kelantan mahu memadamkan episod duka itu dalam perlawanan antarabangsa bermula dengan Arsenal pada 13 Julai ini disusuli Liverpool pada 16 Julai dalam siri Jelajah Asia 2011 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
“Apa yang pasti saya akan cuba memberi aksi terbaik, sekali gus menggegar jaring Arsenal dan Liverpool nanti,” kata penyerang yang menghimpun 19 gol dalam Liga Super
“Sebelum ini saya juga harap dapat beraksi menentang Chelsea. Tapi impian itu tidak kesampaian kerana skuad senior negara mempunyai tugas lebih penting menentang Singapura dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 nanti.”

Mat Yo berkata dia sudah kembali selesa dalam permainannya, tambahan selepas menjaringkan dua gol ketika menewaskan Sabah tempoh hari.

“Saya harap dalam baki tempoh latihan menjelang kedua-dua perlawanan ini, saya dapat menjana semula persefahaman dengan Safee (Sali). Harap kami mampu menyerlah seperti ketika membantu negara menjulang Piala AFF tahun lalu,” katanya.



Safee, 27 pula masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring tendon di bahagian belakang lutut yang dialaminya ketika aksi pertama pusingan pertama menentang Taiwan pada 29 Jun lalu.
Menurut Safee, dia berharap kecederaannya itu dapat pulih dengan lebih cepat bagi membolehkannya turun beraksi ketika skuad kebangsaan bertemu pula Liverpool, Sabtu ini.
Namun fokus utamanya tetap untuk dapat tampil dengan aksi terbaik ketika skuad kebangsaan bertemu Singapura pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 dan 28 Julai depan.
“Buat masa ini, saya baru pulih 70 peratus dan memang kemungkinan besar tidak dapat beraksi untuk perlawanan menentang Arsenal pada Rabu ini.
“Memang rasa kecewa tidak dapat berdepan pemain-pemain Arsenal, tetapi perlawanan yang lebih penting bagi skuad kebangsaan ialah bertemu Singapura.
“Saya tidak mahu kecederaan ini bertambah teruk semula kerana mahu betul-betul cergas menjelang pertemuan dengan Singapura,” kata Safee ketika ditemui Kosmo! semalam.
Dengan ketiadaan Safee, jentera serangan skuad kebangsaan untuk membolosi gawang Arsenal yang dikawal Wojciech Szczesny bakal diketuai Norshahrul Idlan Talaha dan Abdul Hadi Yahaya.
Bagaimanapun, Safee tetap menyimpan hasrat untuk turun beraksi menentang Liverpool yang merupakan musuh tradisi pasukan kegemarannya, Manchester United.
“Mana tahu jika kecederaan saya ini pulih dengan lebih cepat, saya dapat berpeluang turun beraksi menentang Liverpool pada Sabtu ini.
“Sebelum ini pun saya hanya sekali bertemu kelab England iaitu Chelsea pada 2008 dan memang peluang keemasan seperti ini kalau boleh tidak dilepaskan,” ujar pemain kelab Pelita Jaya itu.
Dalam pada itu, skuad Arsenal tiba di ibu negara pada hari ini tanpa kelibat kapten, Cesc Fabregas yang masih cedera serta penyerang Lille, Gervinho yang belum melengkapkan perpindahannya.