Barisan Muda Kelantan di Puji

Jocip Bonabin (kiri) pemain import Kelantan ketika
perlawanan persahabatan menentang Pelita Jaya.
Kelantan kini mempunyai pemain pelapis yang boleh disandarkan harapan untuk beraksi pada masa hadapan jika terus digilap dan diberi pendedahan bermain dengan pasukan luar negara.

Ketua Jurulatih Kelantan Datuk M. Karathu berkata negeri ini tidak ketandusan pemain muda jika diukur pada beberapa perlawanan persahabatan termasuk dengan sebuah kelab dari Indonesia, Pelita Jaya FC di sini, malam tadi.

"Saya sangat gembira dengan prestasi pemain muda yang kita galaskan dalam beberapa siri perlawanan persahabatan terutama dengan Kelab Pelita Jaya ini.

"Bagaimanapun mereka perlu memperbaiki kelemahan terutama di posisi serangan yang saya nampak kurang berkesan," katanya selepas perlawanan persahabatan antara Kelantan dan Pelita Jaya FC di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV di sini, malam tadi.

Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan seri 1-1 dengan gol Kelantan dijaringkan Mohd Azian Solahuddin pada minit ke-72 manakala Pelita Jaya FC oleh Joko Sasongko di minit ke-90.

Beberapa pemain utama Kelantan tidak diturunkan pada perlawanan itu termasuk pemain utama Pelita Jaya FC, Safee Sali. Walaupun dengan ketiadaan pemain-pemain utama, namun perlawanan persahabatan itu dibanjiri lebih 20000 peminat setia The Red Warriors untuk memenuhi stadium.

Pemain Kelantan akan diberi rehat beberapa hari sebelum memulakan sesi latihan bagi persediaan saingan Piala Malaysia yang bermula selepas Aidilfitri, katanya.