Negeri Sembilan Perkuat Jentera Tengah dan Serangan


MENYEDARI cabaran pada saingan Piala Malaysia lebih sengit dan mencabar, Negeri Sembilan berhasrat mengambil
sekurang-kurangnya tiga pemain di posisi serangan dan tengah bagi menguatkan lagi kekuatan pasukan.
Ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, beliau kini mengenal pasti pemain sesuai mengisi posisi terbabit.


Menurutnya, usaha mengukuhkan semula pasukan penting bagi mempertahankan reputasi Negeri Sembilan selepas dua trofi yang disasarkan sebelum ini iaitu Piala FA dan Piala Liga Super, terlepas.
“Setakat ini saya lihat dua bahagian itu perlu diperkuatkan kerana pasukan hanya menyandarkan harapan kepada Ahmad Fakhri Saarani, Hairuddin Omar dan Mohd Firdaus Azizul di bahagian serangan selepas Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut.


“Manakala di bahagian tengah, kita mempunyai Idris Karim dan Norhafiz Zamani Misbah yang kembali cergas namun tidak cukup memastikan pasukan berada pada tahap terbaik menjelang saingan berprestij itu nanti.


“Sekalipun kita ada beberapa pemain lain yang boleh diharapkan seperti Shahurain Abu Samah yang boleh membantu bahagian serangan, manakala Abdul Halim Zainal di bahagian tengah, kita tidak boleh meletakkan harapan tinggi kepada mereka itu kerana masih muda dan kurang pengalaman,” katanya semalam.
Bagi Azraai, bukan mustahil mencapai impian itu jika setiap pemain memberikan komitmen tinggi terhadap matlamat pasukan memburu kejuaraan.