Anelka jangka pertemuan sukar dengan Malaysia


Imbas kembali : Anelka melepasi benteng pertahanan Malaysia pada perlawanan persahabatan tahun 2008

Walaupun berdepan dengan kelembapan dan pengetahuan cetek mengenai skuad Olimpik Malaysia, pemain pertahanan kelab Chelsea, Ashley Cole, berazam mengekang pergerakan skuad negara pada perlawanan persahabatan di sini Khamis.


Cole, yang berpindah dari kelab Arsenal ke Chelsea pada 2006, sudah pasti tidak memandang ringan skuad Malaysia kerana sedar pasukan lawan itu akan berjuang berhabis-habisan dengan membariskan sebilangan pemain berpengalaman.

"Saya tidak akan memandang ringan kemampuan skuad Malaysia. Perlawanan esok pasti sengit dan kami janji akan memberi pengalaman manis kepada penyokong Chelsea di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri klinik bola sepak khas anjuran Malaysia Airlines (MAS) di Chelsea Blue Pitch di Damansara Damai, di sini, Rabu. MAS merupakan syarikat penerbangan rasmi pasukan itu dalam siri Jelajah Asia Chelsea 2011.

Turut menyertai klinik tersebut ialah penyerang Salomon Kalou, Daniel Sturridge dan pemain pertahanan Patrick Van Aanholt.

Pemain kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu juga berinteraksi dengan 15 pelajar terpilih dari tiga sekolah -- Sekolah Menengah Sains Selangor (Cheras), Sekolah Kebangsaan Jerantut Jaya Pahang dan Sekolah Kebangsaan Manjoi 2, Perak, semasa klinik khas itu.

Ashley, yang menjaringkan enam gol dalam musim EPL lalu, berharap supaya cuaca baik pada perlawanan malam esok bagi mengelak keletihan akibat kelembapan tinggi.

Sementara itu, rakan sepasukan Nicolas Anelka berkata perlawanan esok bukan mudah seperti yang dianggap oleh sebilangan peminat.

"Saya fikir Malaysia akan bermain bersungguh-sungguh dan saya pasti ianya pertemuan yang sukar sekali tetapi kami akan cuba terbaik untuk menghiburkan peminat Malaysia," kata penyerang dari Perancis itu.

Anelka berkata beliau berharap pengurus baru, Andre Villas-Boas, akan mengembalikan semula kegemilangan pasukan itu dengan menjuarai Piala Liga musim ini.

"Dia (Villas-Boas) sangat handal dan kami berlatih dengan gigih sebelum pra musim bermula bulan depan. Saya masih mempunyai kontrak setahun lagi dengan Chelsea dan mungkin kita akan bersedia merangkul kejuaraan musim depan," katanya.

Chelsea akan menentang pasukan pilihan skuad Olimpik Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada pukul 8.45 malam esok.

Pada pertemuan terakhir pada 2008, pasukan 'The Blues' telah mengalahkan skuad kebangsaan 2-0 di Stadium Shah Alam.

Selepas perlawanan esok, Chelsea akan meneruskan siri perlawanan persahabatan mereka dengan menentang Thailand All Stars di Bangkok, Ahad ini, kelab Hong Kong, Kitchee FC pada 27 Julai dan Aston Villa pada 30 Julai ini.