Tekad besar Aidil, Muslim
Oleh Hussain Said
hussain@bharian.com.my
2011/07/19
PEMAIN skuad Olimpik Malaysia mendengar taklimat jurulatih Ong Kim Swee pada sesi latihan di MSN, semalam.
TERBOLOS 14 kali, termasuk menghadiahkan lima sepakan penalti daripada empat perlawanan terakhir.Jelas statistik ini bukan saja membimbangkan ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal, tetapi juga peminat mengenai kerapuhan dan kepincangan benteng skuad Harimau Malaya menjelang pertembungan kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura di Stadium Jalan Besar, Sabtu ini.
Namun, dua tonggak benteng negara, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Muslim Ahmad bertekad akan memperkemaskan benteng negara agar lebih kental dan kebal menjelang pertembungan penting itu, selain memastikan kesilapan mudah yang menghadiahkan gol kepada lawan tidak lagi berulang.
“Kami akui semua pihak bimbang mengenai kerapuhan benteng, tetapi percayalah kami di barisan pertahanan berjanji kesilapan sama tidak akan berulang. Kami akan pastikan benteng negara kebal dan kental menentang Singapura nanti,” kata Aidil yang mula menjalani latihan ringan, semalam selepas pulih daripada kecederaan buku lali ketika tewas 0-4 kepada Arsenal, Rabu lalu.
Aidil yang meledak dua gol pada perlawanan menentang Taiwan dalam pusingan pertama mengakui mereka banyak belajar daripada perlawanan menentang Arsenal dan Liverpool yang menyaksikan benteng negara dibolosi 10 gol dan menghadiahkan dua sepakan penalti.
Muslim yang turut senada dengan Aidil pula berkata: “Kami akan memperbaiki semua kelemahan ini dan menggilap semula persefahaman di antara kami.
“Kami yakin mampu membentuk semula persefahaman menjelang perlawanan itu bagi memastikan gawang negara tidak mudah dibolosi.”
Selain 10 gol yang membocori gawang ketika tewas kepada Arsenal dan Liverpool, benteng negara turut melepas empat gol ketika menentang Taiwan dalam perlawanan timbal balik pusingan pertama kelayakan Piala Dunia dengan hampir semuanya akibat kesilapan.