SHAHIDAN KASSIM TUNTU RM39 RIBU DARI FAM
Datuk Seri Shahidan Kassim tetap mahukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memulangkan semula wang denda RM39,000 yang sudah dibayarnya atas kesalahan melanggar Artikel 88 badan itu, Februari lalu.
Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) itu berkata wang denda itu perlu dikembalikan berikutan undang-undang tersebut kini dimansuhkan oleh badan induk bola sepak negara itu.
Dalam pada itu, pada 19 Ogos lepas, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan bahawa individu yang dihukum atas kesalahan melanggar Artikel 88 di bawah Statut FAM 2010-2014, tiada hak menuntut kembali wang denda yang dibayar mereka.
Katanya hukuman ke atas individu terbabit termasuk denda terhadap mereka di bawah Artikel 88 kerana mengkritik FAM sebelum ini, adalah kekal walaupun badan induk kebangsaan itu membuat keputusan meminda artikel berkenaan.