Khairy Sedia Jumpa FAM
KJ SEDIA JUMPA FAM
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini menyatakan persetujuan untuk bersemuka dengan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menyelesaikan kemelut antaranya dan badan itu.
"Saya tidak ada masalah untuk berbincang," katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen di sini.
Beliau ditanya sama ada bersedia untuk bersemuka dengan FAMbagi menyelesaikan isu berbangkit susulan saranan Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM Datuk Takiyuddin Hassan semalam, yang berkata Khairy perlu mengambil pendekatan secara bersemuka bukan menegur badan induk bola sepak tersebut secara terbuka.
Sejak kebelakangan ini Khairy lantang mengkritik FAM antaranya bersabit jualan tiket final Piala Malaysia dan kemuncaknya teguran terhadap Jawatankuasa Keselamatan FAM susulan penemuan pistol di dalam tandas di Stadium Shah Alam semasa final Piala Malaysia antara Kelantan dan Pahang pada 3 November lalu.
Khairy sebelum ini dipetik berkata segala kritikan beliau selama ini adalah demi kemajuan bola sepak tanah air dan bukan bermaksud untuk membalas dendam kepada kepemimpinan FAM. - Bernama