JUARA Piala FA dan naib juara Liga Super, Terengganu memulakan kempen Piala Malaysia dengan garang apabila mudah membenam Sime Darby 3-0 pada aksi Kumpulan B di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.
Terengganu tampil dengan lima pemain kebangsaan - Sharbinee Allawee Ramli, Helmi Remeli, Joseph Kalang Tie, Ashari Samsudin dan Abdul Hadi Yahaya manakala ketiadaan bek kiri skuad Olimpik negara, Zubir Azmi ditampung Ronny Harun.Hanya lima minit diperlukan Terengganu untuk memperoleh gol pertama menerusi tandukan Joseph Kalang selepas dia pantas menyambung umpanan Reeshafiq Alwi hasil sepakan sudut Ashari.
Sime Darby sesekali mencuba tetapi ketumpulan sentuhan penyudah Faizal Esahar dan Mohd Faiz Isa memudahkan tugas Sharbinee mempertahankan gawang Terengganu.
Pada minit ke-32, Terengganu menambah gol kedua selepas rembatan kencang kaki kanan Reeshafiq dari luar kotak penalti berjaya melepasi jangkauan penjaga gol Sime Darby, Soffuan Tawil.
Bersambung babak kedua, Terengganu terus menampilkan penguasaan penuh tetapi Ashari, Hadi dan Abdul Manaf Mamat banyak mempersiakan peluang depan pintu gol Sime Darby.
Manaf akhirnya berjaya meledak gol ketiga Terengganu selepas menyudahkan lorongan cantik pemain gantian, Ailim Fahmi Kamaruddin pada minit ke-84.
Sementara itu, pada satu lagi aksi Kumpulan B malam tadi, naib juara musim lalu, Negeri Sembilan berjaya menewaskan juara Liga Perdana, PKNS 2-1 di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya.