Highlight Perlawanan Kedua Piala Malaysia 2011


NURUL Azwan Roya (dua dari kanan) diasak pemain Johor FC, Mohd Riduwan Ma'on di Kota Bharu malam tadi.
KELANTAN, Terengganu dan Selangor - terus mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan masing-masing apabila aksi Piala Malaysia bersambung malam tadi tetapi pasukan pilihan, Kedah tersembam di tangan Sabah di Stadium Likas.

Dalam saingan Kumpulan A, Sabah dan Perak berkongsi tangga teratas dengan jumlah mata dan jaringan sama selepas masing-masing merakam kemenangan 2-1 ke atas Kedah dan Johor malam tadi.
Di Stadium Likas, Sabah mengubati kekecewaan seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama menentang Perak Selasa lalu dengan menundukkan Kedah 2-1, hasil jaringan Zainizam Marjan (m-27) dan pemain gantian, K Thanaraj (m-77) tatkala Azmi Muslim merapatkan kedudukan buat Kedah empat minit sebelum tamat.
Di Stadium Perak, tuan rumah yang turun tanpa lima tonggak digantung, membuka jaringan menerusi Failee Ghazali pada minit ke-29 diikuti sepakan penalti Shafiq Jamal (m-73) sebelum Azuwad Arip merapatkan jurang untuk Johor tiga minit sebelum tamat permainan.

Kumpulan B menyaksikan Negeri Sembilan mengukuhkan cengkaman apabila menjadikan Sime Darby FC sebagai belasahan dengan kemenangan besar
5-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Hairuddin Omar meletakkan skuad bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah di depan menerusi jaringan pada minit ke-33 selepas memanfaatkan bola muntah daripada tangkapan penjaga gol Sime Darby, Soffuan Tawil, sebelum Shahurain Abu Samah meledak gol kedua tiga minit kemudian.
Shukor Adan menambah derita Sime Darby dengan gol ketiga hasil sepakan bebas 20 meter pada minit ke-64 sebelum Hairuddin (m-72) dan Mohd Firdaus (m-79) melengkap pesta gol tuan rumah.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu yang mendahului seawal minit pertama menerusi Ashaari Samsudin, dipaksa bekerja keras juara Liga Perdana, PKNS yang dua kali menyamakan kedudukan sebelum Manaf Mamat mengesahkan kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit ke-79.

PKNS yang dikejutkan dengan gol awal Ashaari dan hanya memerlukan lapan minit untuk mengikat kedudukan menerusi Fauzan Dzulkifli, sambil Zamri Hassan (m-62) memadam jaringan kedua Reeshafiq Alwi (m-54).

Saingan Kumpulan C menyaksikan FELDA United merampas tangga teratas selepas menang tipis 1-0 ke atas Sarawak di Stadium MBPJ Kelana Jaya, manakala Kelantan menundukkan Johor FC 2-1.

Skuad kendalian E Elavarasan merakam kemenangan kedua selepas menundukkan Johor FC 2-0 Selasa lalu, dan kali ini Nizam Abu Bakar menjadi wira apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-68.

Di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kelantan memerlukan jaringan Ramzul Zahini Adnan, dua minit sebelum tamat untuk memastikan kemenangan 2-1 selepas Johor FC membuat kejutan menerusi gol Eddy Helmi Manan pada minit ke-11.

Shakir Shaari mengikat kedudukan sebelum Ramzul memberikan tiga mata buat juara bertahan itu pada minit ke-88.

Dalam saingan Kumpulan D, juara 32 kali, Selangor kembali menemui sentuhan apabila menewaskan Polis 2-0 di Stadium Shah Alam.

Tindakan penyerang Fadzli Saari menukar but sebaik babak kedua membawa tuah apabila menolak masuk lorongan Amirulhadi Zainal pada minit ke-46 untuk gol pertama tuan rumah sebelum meledak gol kedua pada minit ke-59 hasil hantaran Safiq Rahim yang baru seminit masuk menggantikan Fitri Shazwan Raduwan.

Di Stadium MP Selayang, Kuala Lumpur terus selesa di tangga teratas Kumpulan D apabila merakam kemenangan kedua dengan Yong Kuong Yong muncul wira meledak dua gol (m-26, 47) ketika menewaskan T-Team 2-1.