KBS sedia jalin kerjasama dengan QPR - Ahmad Shabery



Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia mengkaji jalinan
kerjasama dengan kelab Perdana Inggeris, Queens Park Rangers (QPR) yang 
dimiliki Tan Sri Tony Fernandes untuk program pembangunan bola sepak negara 
sekiranya kelab tersebut mempunyai akademi latihan yang baik.
Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ini kerana terdapat sesetengah 
kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) hanya mempunyai pemain terbaik yang dibeli 
dari luar seperti kelab Manchester United dan Chelsea.
"Saya akan mendapatkan maklumat sama ada kelab QPR mempunyai akademi 
latihan sendiri untuk melahirkan pemain berbakat," katanya ketika ditemui selepas 
majlis penyampaian bubur lambuk dan Jalur Gemilang di Centre Point, di sini, hari ini.
Ahmad Shabery berkata demikian sebagai mengulas saranan Timbalan Presiden 
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kepada 
Fernandes agar tidak melupakan bola sepak negara ini sekalipun akur QPR 
merupakan hak teraju bersama syarikat induk penerbangan AirAsia itu.
Ahmad Shabery berkata beliau sendiri sebelum ini telah berjumpa dengan Datuk 
Kamarudin Meranun, yang kini menjadi ahli lembaga pengarah kelab QPR untuk 
membincangkan bentuk kerjasama yang boleh dijalankan untuk membantu 
pembangunan bola sepak negara.
Fernandes, 47, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, menjadi pemilik 
saham utama yang baru dalam QPR selepas membeli 66 peratus saham pemilik 
Formula 1, Bernie Ecclestone pada kadar sekitar £35 juta (RM171 juta), Khamis lalu.