Kekalahan Pasukan Kebangsaan Malaysia kepada kelab gergasi eropah telah dijangka ramai pihak. Arsenal yang dibarisi pemain-pemain bertaraf dunia berjaya memalukan sebuah pasukan kebangsaan dengan jaringan 4-0.
Menerusi serangan pertama ke arah pintu gol Malaysia pada minit keempat, Arsenal berjaya memperoleh sepakan penalti setelah Aidil Zafuan Radzak menjatuhkan Jack Wilshere. Ramsey yang mengambil sepakan penalti itu mudah menewaskan penjaga gol ke-3 negara iaitu Nasril untuk gol pertama Arsenal.
Malaysia hanya melakukan serangan sulung pada minit kelapan, tetapi hantaran lintang Asraruddin Putra Omar mudah ditanduk Alex Song ke arah penjaga golnya, Wojciech Szczesny. Pada minit ke-24, stadium bergema seketika apabila sepakan percuma kapten Malaysia, Safiq Rahim dari sebelah kanan hampir memerangkap Szczesny yang terpaksa melompat untuk menepis bola ke belakang. Namun kelekaan pertahanan Malaysia dihukum pada minit ke-36 apabila hantaran lintang Wilshere berjaya disudahkan dengan lambungan kemas oleh Walcott untuk kedudukan 2-0.
Bermula babak kedua, Wenger melakukan lapan pertukaran sementara Rajagobal hanya memasukkan Khairul Fahmi dan Abdul Hadi Yahaya menggantikan Nasril dan Ahmad Fakri Saarani.
Kehebatan Arsenal ternyata sukar dibendung apabila mereka berjaya memperoleh gol ketiga hasil penyudah kemas penyerang gantian, Vela pada minit ke-58. Pada minit ke-67, Wenger mula melakukan empat pertukaran serentak memasukkan Van Persie, Nasri, Sagna dan Arshavin. Arsenal melengkapkan malam gemilang mereka dengan gol keempat menerusi Rosicky pada minit ke-90.
Kesimpulannya Malaysia teruk dibelasah oleh sebuah pasukan berstatus kelab. Maruah pemain serta maruah negara juga tercalar apabila ditewaskan dengan begitu mudah. Apa relevanya FAM menerima undangan penganjur untuk bertemu pasukan kelab? ianya tidak mendatangkan sebarang mata untuk pasukan kita dalam ranking FIFA. Memang patut Ultras Malaya tidak bersetuju dengan perlawanan ini. Perlawanan ini hanya menguntungkan penganjur dan mungkin FAM turut mendapat habuannya.
Jika mahu mengaut keuntungan sekalipun, mengapa tidak mengadakan perlawanan dengan pasukan negara yang lain,yang turut dibarisi pemain handalan dunia seperti Brazil, England, Jerman dan Sepanyol? Dengan kehadiran penyokong sekitar 50,000 orang berbanding kapasiti stadium yang boleh memuatkan 80,000 hingga 100,000 orang menunjukkan bahawa peminat bolasepak negara mungkin tidak begitu ghairah untuk pergi ke stadium untuk menyaksikan pertunjukan macam ini. Malah bilangan penyokong malam tadi hanya separuh daripadabilangan penokong aksi final Piala FA antara Kelantan dan Terengganu tempoh hari.
Selepas ini perlawanan persahabatan atau mungkin lebih patut disebut perlawanan pertunjukan antara skuad negara lagi ialah dengan menentang Liverpool pada 16 julai ini. Liverpool sebelum ini telah ke China untuk siri jelajah Asia nya menentang sebuah kelab di republik itu, Guandong. Perlawanan tersebut berkesudahan dengan Liverpool hanya menang tipis keatas Guangdong 4-3. Dan Liverpool ke sana menentang pasukan kelab dari China, bukan skuad negara China.
Mungkin perlawanan pertunjukan seperti ini lebih relevan jika Arsenal, Liverpool, dan Chelsea bertemu dengan pasukan Kelab dalam Liga Malaysia seperti Kelantan, Terengganu dan Selangor atau membuat pasukan gabungan dari Liga M untuk menentang kelab-kelab Epl tersebut. Gabungan pemain dari liga kita ini perlu diberi nama lain seperti "Malaysia All Star" atau lain-lain dan tidak memakai jersi kebangsaan. Ini dapat mengelak daripada status skuad negara tewas di tangan pasukan kelab. Bagaimana pula dengan pendapat anda?
MUNGKIN KITA BOLEH BERBANGGA KELAB DARI EPL DATANG KE NEGARA KITA, TAPI BERBANGGAKAH KITA APABILA SKUAD NEGARA KITA DIBELASAH TERUK OLEH KELAB-KELAB INI?