Seperti harimau yang terluka, skuad negara akan menentang Singapura esok dengan penuh keyakinan dan motivasi yang cukup tinggi dalam perlawanan timbal balik kelayakan piala dunia 2014. Dikhabarkan juga lebih 60,000 tiket telah terjual untuk perlawanan tersebut nanti. Jurulatih serta pemain-pemain negara jelas positif dan bersemangat untuk menunjukkan aksi mereka sebenar dalam perlawanan tersebut.
"Singapura tak hebat. Ayuh serang dan robohkan kubu mereka. Pertahanan mereka longgar.” Itulah firasat positif bekas pemain tonggak negara, Razip Ismail menjelang pertembungan Malaysia menentang Singapura dalam perlawanan kedua, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, Khamis ini. Dia percaya jika skuad Harimau Malaya boleh meledak tiga gol di gelanggang lawan, Sabtu lalu mereka mampu gegar lagi gawang Singa di Stadium Nasional, Bukit Jalil nanti.
Ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal, kekal optimis dan menyuarakan hakikat dalam bola sepak, sesuatu pasukan tidak boleh terlalu bergantung harap kepada seseorang pemain saja.“Sebagai jurulatih, saya sedar dengan situasi ini namun saya tidak nampak moral pemain kita jatuh. Sebagai contoh, kita tidak menurunkan Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Norshahrul Idlan Talaha pada perlawanan pertama namun kita tetap mampu beraksi dengan baik.“Pemain sudah sedar kesilapan mereka dan tahu apa yang diperlukan ketika melayan kunjungan Singapura nanti,” katanya yang turut mengulas situasi goyah di bahagian pertahanan yang turut membelenggu kem negara.
“Dari sesi latihan beberapa hari ini, saya sudah meneliti beberapa perkara. Pertahanan kita buat kesilapan mudah selain keadaan padang namun kita tidak boleh meletakkannya sebagai punca utama. “Ketiadaan Safiq membuka peluang buat pemain lain menguji kebolehan mereka dan antara yang boleh mengisi ruang itu ialah Amar Rohidan, Shakir Shaari dan K Gurusamy.
“Saya yakin dengan barisan yang saya miliki ketika ini dan saya rasa tidak perlu untuk menyenaraikan pemain lain,” kata Rajagobal.
Selain itu Aidil Zafuan Abd Radzak yang baru pulih dari kecederaan sudah pun menyuarakan kesediaannya dan tekad memberi yang terbaik serta fokus menghalang gawang negara dari dibolosi lawan.
“Tiada tekanan jika tugas itu diserahkan kepada saya dan saya sudah bersedia menggalas amanah diberi itu dengan baik. “Semangat saya bertambah selepas tidak beraksi pada perlawanan pertama di Singapura dan selepas ujian fisio terapi, petanda yang diberikan cukup baik,” kata Aidil yang mengalami kecederaan buku lali ketika tewas 0-4 kepada Arsenal pada 13 Julai laluSaya sedar tugas ini berat dan memerlukan kerjasama berpasukan. Saya dan rakan-rakan akan menyumbang sebanyak mana yang mampu dan yakin untuk memberikan 100 peratus ketika perlawanan itu nanti,” katanya yang mengakui benteng pertahanan tengah masih perlu diperbaiki.
Safee Sali serta Amirul Hadi yang tidak kelihatan ketika sesi latihan petang semalam kerana mengalami demam sejak kelmarin menyuarakan keyakinan dan berjanji akan memberikan yang terbaik pada aksi esok. “TAK perlu risau saya akan sihat semula dan semangat saya tetap kuat untuk memastikan Malaysia layak. Itu kata-kata semangat penyerang berbisa negara, Mohd Safee Sali yang tidak sabar untuk membuat perhitungan dengan Singapura Khamis ini meskipun badannya kini sedikit lemah kerana mengalami demam selsema.
Safee, 27, menghidupkan peluang Malaysia untuk meneruskan cabaran di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 dengan meledak dua gol ketika tewas 5-3 kepada Singapura dalam aksi pertama di Stadium Jalan Besar Sabtu lalu. “Misi untuk menang dengan Singapura bukan mustahil kerana kita memiliki rekod baik di Stadium Nasional Bukit Jalil. Saya yakin kita sebenarnya boleh menang lebih daripada dua gol jika semua pemain memberikan aksi terbaik,” katanya.
Ketinggalan 5-3 selepas perlawanan pertama, Malaysia hanya memerlukan kemenangan sekurang-kurangnya dua gol tanpa bolos untuk mengikat agregat.