Recent Posts Widget

FAM Rayu FAS Tambah Kuota Tiket Untuk Penyokong Malaysia

Jalan Besar Stadium
Stadium Jalan Besar, Singapura
PETALING JAYA, 8 Julai (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menghantar rayuan kepada Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) bagi memohon tambahan 1,500 tiket pada perlawanan pusingan kedua Piala Dunia 2014 Zon Asia yang akan diadakan di republik itu pada 23 Julai ini.

Setiausaha Kehormat FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata beliau telah menghantar surat rayuan kepada FAS pagi ini.

Skuad Piala Dunia Malaysia kendalian Datuk K.Rajagobal akan menentang Singapura pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura sebelum perlawanan timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Julai.

"FAM berharap FAS akan memberi tambahan tiket kepada penyokong Malaysia ketika perlawanan itu nanti," kata Azzuddin kepada pemberita di sini pada Jumaat.

FAS sebelum ini menyatakan akan mengehadkan penjualan 500 tiket kepada penyokong Malaysia pada perlawanan tersebut.

Stadium Jalan Besar hanya mempunyai kapasiti 6,000 penonton.

"FAM sebaliknya tidak akan mengehadkan jualan tiket kepada penyokong Singapura pada perlawanan timbal balik nanti," kata Azzuddin.