Bahrain Anggap Malaysia Berpeluang

IMBAS KEMBALI...pemain Malaysia meraikan gol pertama pada  pertemuan dengan Taiwan pada perlawanan Kelayakan Olimpik London di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.
BAHRAIN tetap menganggap Malaysia sebagai satu ancaman dalam perebutan slot
automatik ke Sukan Olimpik London 2012 dalam saingan peringkat Kumpulan C
yang akan bermula September ini.

Menurut Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Bahrain, Hafedh E Al
Dosary, biarpun Malaysia dianggap pasukan bukan pilihan dalam Kumpulan C yang
turut membabitkan gergasi Asia Jepun dan Syria, kemampuan wakil tunggal dari
Asia Tenggara itu tidak boleh diambil mudah selepas berjaya menumpaskan Lubnan
pada pusingan sebelum ini.

“Malaysia bukan lawan yang mudah, kami tahu kemampuan Malaysia. Kami
menyaksikan bagaimana Malaysia menewaskan Lubnan dan saya fikir Malaysia
pasukan yang bagus dan mempunyai peluang dalam kumpulan ini,” katanya yang
ditemui pada majlis undian pusingan akhir kelayakan Olimpik London 2012 di ibu
pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia baru-baru ini.

Dalam undian itu, Kumpulan A membabitkan Korea Selatan, Qatar, Arab Saudi dan
Oman manakala satu lagi pasukan pilihan, Australia berdepan Iraq, Uzbekistan
dan Emiriah Arab bersatu dalam Kumpulan B.

Bahrain antara pasukan yang mampu mencabar dalam saingan Kumpulan C
bagaimanapun terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan Palestin pada pusingan
kedua sebelum ini.

Pada aksi di Manama, skuad kendalian Salman Ahmed Rashed Shareeda itu tumpas
1-0 pada perlawanan pertama namun berjaya menewaskan Palestin 2-1 pada aksi
timbal balik kedua untuk mengikat agregat 2-2 sekali gus mara menerusi jaringan gol
di tempat lawan.


Biarpun mengakui kurang selesa dengan kehadiran Jepun dalam saingan Kumpulan C,
Hafedh yang juga pengurus pasukan Olimpik Bahrain tetap menganggap semua pasukan
memiliki peluang yang sama untuk muncul juara kumpulan bagi meraih tiket automatik ke
London.

“Ini adalah undian yang baik bagi kami biarpun Jepun berada dalam kumpulan yang
sama. Tapi jika dibandingkan dengan kumpulan lain, peluang dalam kumpulan ini lebih
baik. Bagi saya semua pasukan mempunyai peluang yang sama,” katanya.

Skuad Olimpik negara kendalian Ong Kim Swee berjaya menempatkan diri dalam
kelompok 12 pasukan terbaik Asia apabila menewaskan Lubnan pada pusingan kelayakan
kedua menerusi agregat 2-1.

Pada pusingan awal, skuad bawah 23 tahun negara itu mengatasi Pakistan menerusi
agregat 2-0.

Barisan muda negara itu akan memulakan kempen peringkat kumpulan dengan menentang
Jepun di tempat lawan pada 21 September depan.

Juara kumpulan bakal mendapat slot automatik ke Olimpik London manakala pasukan di
tangga kedua akan beraksi dalam saingan play off untuk menentang wakil dari benua Afrika
bagi satu lagi slot.