Berita Harian
CABARAN Malaysia pada kejohanan bola sepak Piala Asean Bawah 13 Tahun Yamaha 2011 berakhir apabila tumpas 4-0 ketika bertemu juara bertahan, Indonesia di Stadium Yamaha, Muang Thong Thani, semalam.Jurulatih negara, N Radakrishnan berkata, skuadnya sudah melakukan yang terbaik namun persiapan singkat enam hari bagi menghadapi kejohanan ternyata tidak mencukupi.
“Pada awal lagi kami sedar laluan agak sukar apabila diletakkan dalam kumpulan maut. Dalam perlawanan tadi (semalam), saya lihat tahap kecergasan pemain kita lebih rendah berbanding Indonesia yang mempunyai jentera serangan bagus,” katanya.
Dalam perlawanan kedua kumpulan B itu, Indonesia menyumbat empat gol menerusi Aldo Prasteyo pada minit keenam, Febriza Nazri Anas (m-9), Dandi Usman Kahar (m-29) dan Andi Abdul Azis Zulfikar (m-32).
Radakrishnan berkata, Malaysia yang akan menjadi tuan rumah kejohanan edisi keempat tahun depan, perlu melakukan persiapan awal bagi memperbaiki persembahan.“Jika sekali lagi diberi peluang membimbing skuad negara tahun depan, saya memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk menghasilkan keputusan membanggakan,” katanya yang dibantu penolong jurulatih, Abdullah Suhaimi Mohamad Nor.Dalam satu lagi perlawanan kumpulan A, Vietnam melangkah ke separuh akhir apabila membenam India 5-2.