Recent Posts Widget

Penampilan Berbeza Khalid


KOTA BHARU – Sentuhan bekas penyerang kebangsaan, Muhammad Khalid Jamlus ketika beraksi bersama Kelantan musim lalu kadang-kala menjadi kadang-kala tidak, tetapi itu tidak bermakna selepas hampir setahun tidak menyentuh bola prestasi beliau merudum.
Sebaliknya, kepakaran beliau yang mempunyai keupayaan menghidu peluang terbuka dan berkeupayaan menjaringkan gol dalam situasi sukar dalam kotak penalti terus ditagih bagi memperkuatkan jentera serangan Kelantan untuk musim depan.
Itulah kelebihan Muhammad Khalid, 33 tahun, bekas pemain yang pernah menyarung jersi Kelantan musim lalu dan merupakan pemain terbaru yang menganggotai skuad Kelantan untuk musim depan selain pemain pertahanan, Wan Rohaimi Wan Ismail (Johor FC) dan Danial Fadzly Abdullah (ATM).
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, pihak pengurusan Kafa dan jurulatih, B Sathianathan yang memberi kepercayaan kali kedua kepada saya menyarung jersi Kelantan untuk musim depan.
“Apa yang boleh saya katakan ini merupakan satu peluang bagi saya membuktikan kemampuan saya. Mungkin tahun lepas saya kurang menonjol, jadi saya berharap tahun depan saya akan membuat penampilan berbeza dengan menunjukkan persembahan terbaik.
“Yang penting bagi saya ialah buat yang terbaik untuk pasukan Kelantan untuk tahun depan. Buat masa ini saya hendak mencari gol pertama dahulu. Lepas itu baru saya fikir macam mana hendak mendapatkan gol seterusnya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Muhammad Khalid, pemain yang digantung tidak bertali sepanjang musim ini oleh ATM bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai nasib yang menimpanya.
“Kita tutup buku lama dan buka buku baru. Orang tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku, hanya saya yang tahu. Itu semua menjadi sejarah hitam dalam hidup saya yang tidak mungkin akan dilupakan sampai bila-bila.
“Insya-Allah saya buktikan kepada para peminat bahawa saya masih lagi mempunyai sentuhan berbisa. Harapan tahun depan, saya berharap kita dapat mengekalkan piala yang dah ada dan berusaha untuk memburu dua piala lagi.
Ditanya adakah beliau mendapat tawaran daripada mana-mana pasukan sebelum memilih kembali bermain bersama Kelantan untuk musim depan, Muhammad Khalid mengakui pernah dijanjikan oleh seseorang untuk bermain dengan sebuah pasukan namun janji tersebut hanya omongan kosong.
“Memang saya ada dijanjikan untuk mendapat tempat dalam sesebuah pasukan, jadi saya pun dah buat yang terbaik beraksi dalam kejohanan Piala Emas Raja-Raja, namun janji tersebut hanya tinggal janji,” katanya.