Recent Posts Widget

Annuar Bidas Kenyataan Akmal Rizal


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengambil tindakan tegas terhadap bekas pemain, Akmal Rizal Rakhli kerana mengeluarkan kenyataan yang memburukkan persatuan itu, lapor YATIMIN ABDULLAH.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas pemain kebangsaan itu tidak tepat sama sekali kerana pihaknya masih belum membayar sebarang bonus kepada mana-mana pemain yang menjulang Piala Malaysia baru-baru ini.
Beliau berkata, KAFA sedang menunggu sumbangan daripada semua pihak termasuk Kerajaan Pas Kelantan sebelum bayaran bonus dibuat sepenuhnya kepada para pemain.
“Jumlah bayaran kepada para pemain juga masih belum diputuskan lagi. Apa yang telah dibayar ialah bayaran sebagai ganti kepada yuran menandatangani perjanjian bagi mereka yang menyambung kontrak dan tambahan gaji kepada semua pemain yang kekal berkhidmat dengan KAFA.
“Saya percaya mereka yang pindah juga dapat benda sama dengan pasukan baru mereka, apakah KAFA kena samakan pemain yang setia dengan pasukan pemain yang lompat mencari wang lebih semata-mata,” katanya kepada melalui pesanan khidmat ringkas (SMS) semalam.
Beliau mengulas kenyataan Akmal yang mendakwa KAFA tidak berpegang kepada janji dan tidak adil dalam isu pembahagian bonus kemenangan Piala Malaysia musim lalu.
Bagaimanapun Annuar tidak menjelaskan bentuk tindakan yang bakal diambil terhadap Akmal Rizal.
Kosmo! semalam Akmal Rizal membidas KAFA yang didakwa tidak berpegang kepada janji dalam isu pembahagian bonus kemenangan Piala Malaysia musim lalu.
Akmal mendakwa dia bersama lima lagi pemain tidak diberikan bonus kerana mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan Kelantan sebaik sahaja musim Liga Malaysia 2010 berakhir.
Sementara itu, bekas peledak berbisa Kelantan, Hairuddin Omar mengambil sikap berdiam diri dan enggan mengulas kenyataan yang dikeluarkan Akmal Rizal.
Hairuddin menyerahkan isu itu kepada pucuk pimpinan tertinggi Kafa untuk menyelesaikanya.
“Saya lebih suka mengambil sikap berdiam diri dan tidak memberikan sebarang komen dalam isu ini, sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada ketua jurulatih B. Sathianathan untuk menyelesaikanya.
“Lagipun ketua jurulatih sudah pun berjanji membantu menyelesaikan masalah ini sebaik sahaja Tan Sri Annuar pulang dari bercuti,” katanya.