Liga Super Malaysia 2013 Meniti Kemajuan


Kehangatan Liga Malaysia kian hangat diperkata. Isu perpindahan pemain, kehadiran pemain-pemain bintang dan kesungguhan setiap pasukan dalam mengharungi kancah liga yang akan bermula Januari depan menghangatkan lagi liga bola sepak di negara kita. Perkembangan ini memberi kesan positif kepada Liga Malaysia yang kembali menjadi topik utama dikalangan penyokong bolasepak tempatan. Kini lebih ramai yang mula menantikan sepak mula Liga Super, Liga Perdana dan Liga FAM. Kehadiran penyokong di beberapa venue ketika perlawanan persahabatan antara kelab juga telah cukup membuktikan kecenderungan peminat bolasepak kini tertumpu kepada pasukan-pasukan tempatan.

     Namun disebalik kehangatan ini, sudah sediakah pihak FAM dengan perkembangan positif ini. Seperti yang anda sedia tahu tentang isu bekas jurulatih Terengganu, Peter James Butler dan isu perpindahan paling kontroversi iaitu Matyo. Isu-isu seperti ini mengambil masa yang lama untuk diselesaikan, sehingga ada yang berbalah sesama sendiri. Semestinya isu-isu seperti ini akan terus berlaku malah berkemungkinan ada masalah yang lebih dasyat akan terjadi seperti isu perpindahan pemain, isu gaji, penaja pasukan, dan lain lain. FAM harus bersedia dengan kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku selaras dengan perkembangan positif di Liga M. Masalah-masalah sedemikian harus cepat diselesaikan supaya Liga kita lebih ke arah professional.

     Liga Super adalah liga utama dalam piramid liga di Malaysia, dan kualiti liga yang kita ada jauh lebih baik dari negara jiran kita Singapura. Malah nilai-nilai pemain-pemain berstatus bintang antara termahal di Asia Tenggara. Namun begitu Liga kita masih berada dalam Gred D kerana tidak menswastakan Liga. Untuk Pasukan-pasukan Liga Super Malaysia melayakkan diri bertanding dalam kejohanan paling besar di Asia iaitu Liga Juara-juara Asia, syarat utamanya adalah dengan bermain di liga swasta yang diuruskan oleh badan korporat. Jadi hebat mana pun kualiti liga yang kita ada, kita hanya boleh digelar jaguh kampung kerana tidak layak bertanding dengan kelab-kelab gergasi Asia yang lain. Pihak pengurusan pasukan Kelantan sebagai contoh mempunyai harapan untuk bersaing dalam kejohanan terbesar Asia itu, kesungguhan pasukan mereka dapat dilihat setelah mereka berjaya ke saingan suku akhir Piala Asia. Semestinya kita harus melihat jauh ke hadapan untuk menaikkan kualiti liga yang kita ada. Jika mempunyai liga yang berkualiti, secara tidak langsung kita akan mempunyai barisan-barisan pemain hebat untuk menyarung jersi kebangsaan.

      Isu pengadil juga antara topik hangat sepanjang musim 2012. Kes rasuah seorang pengadil negara kita serta keputusan-keputusan lemah yang dibuat pengadil dalam perlawanan merencatkan sedikit perjalanan liga. Pihak FAM harus melihat serius perkara ini, pengadil yang berkualiti juga boleh mempengaruhi corak permainan. FAM harus melantik atau memberikan tugas kepada pengadil-pengadil yang berkualiti dan berpengalaman didalam setiap perlawanan. Provokasi dari penonton sedikit sebanyak bakal mengubah keputusan pengadil yang mempunyai mental yang lemah. Jika masih kurang pengadil yang betul-betul berkualiti di dalam negara kita, tidak salah rasanya pihak FAM memanggil beberapa pegadil luar negara demi kualiti liga kita semakin terjaga.

     Beralih kepada penyokong-penyokong tempatan. Kuantiti penyokong setiap pasukan didalam Liga Malaysia semakin meningkat. Lebih mengejutkan apabila beberapa stadium "full house" ketika perlawanan persahabatan. Darul Takzim FC atau dulu dikenali Johor FC semestinya antara pasukan yang akan mengalami peningkatan mendadak kehadiran penyokong di laman sendiri menjelang sepak mula Liga Super 2013. Namun kehadiran penyokong yang ramai tidak boleh dibanggakan jika sikap penyokong yang membaling botol dan membakar mercun masih ada. Penyokong juga harus bersikap lebih professional ketika menyaksikan pasukan kesayangan mereka. Untuk memastikan Liga Malaysia lebih maju, mentaliti segelintir penyokong ini harus ditukar atau pihak berkuasa bertindak lebih tegas kepada mereka dan mengawal keadaan didalam stadium dengan lebih ketat lagi. Namun dilihat perbezaan antara 2011 dengan 2012, penyokong-penyokong nampak semakin matang dan balingan mercun dan botol semakin berkurang. Diharapkan perubahan ini akan terus berlaku sepanjang musim 2013 nanti.

      Liga Malaysia semakin diminati ramai, FAM harus mengambil langkah yang betul supaya liga kita semakin meningkat dari masa ke semasa. Tidak hairan jika plan pembangunan liga kita dibuat dengan betul, Liga Malaysia mungkin menjadi setaraf dengan J-league di Jepun. Jangan sampai kehangatan liga kita semakin merudum dan peminat-peminat bolasepak kembali meminati liga-liga eropah.