Terengganu Berlatih Tanpa Tujuh Tonggak


SKUAD Terengganu tanpa tujuh pemain utamanya terus mengadakan latihan bagi persiapan menghadapi kempen Piala Malaysia untuk memastikan skuad Irfan Bakti Abu Salim mampu menggalas tugas penting memburu satu lagi piala musim ini. 

Walaupun tanpa Irfan Bakti kerana jurulatih Terengganu itu kini berada di tanah suci Makkah untuk menunaikan umrah selama 10 hari dan dijangka pulang ke Terengganu 20 Julai ini, pengurus Datuk Che Mat Jusoh berkata, latihan diteruskan untuk memastikan tahap kecergasan pemain dalam keadaan baik.
Tujuh pemain utamanya yang diserapkan dalam skuad kebangsaan dan Olimpik akan kembali menyertai latihan bersama rakan sepasukan pada akhir bulan ini.


“Diharap mereka yang berada bersama skuad senior dan Olimpik kebangsaan termasuk penjaring terbanyak Liga Super, Abdul Hadi Yahya akan pulang dengan lebih matang untuk membantu Terengganu nanti,” katanya. 

Pemain Terengganu akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan daerah di negeri itu supaya pemain tidak kehilangan rentak dan dapat mengekalkan keserasian dan persefahaman dalam permainan. 

Che Mat juga berkata, trofi Piala FA akan dibawa ke seluruh negeri bagi membolehkan peminat setia melihat piala itu dengan lebih dekat, bermula dengan daerah Besut diikuti Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.