Bola sepakan percuma Drogba yang terkena tiang dan terkena penjaga gol malaysia sebelum melantun diatas garisan. |
Pasukan Malaysia patut mendapat pujian kerana hampir menyaingi kehebatan pasukan ternama Liga Perdana Inggeris (EPL) Chelsea, apabila sekadar tumpas tipis 0-1 pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil Khamis malam.
Meskipun kalah, skuad pilihan Malaysia adunan pemain muda dan beberapa bekas pemain senior dalam liga sup kendalian Ong Kim Swee, menampilkan aksi terpuji dengan mengekang gerakan Chelsea pada babak pertama dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Gol tunggal Chelsea oleh Didier Drogbar pada minit ke-78 merupakan sekadar tuah buat pasukan dari Barat London itu.
Chelsea, yang terkenal dengan gelaran 'The Blues', mula mengasak sejurus wisel permulaan ditiupkan pengadil Subkhiddin Mohd Salleh, dengan diketuai dua pemain ternama Fernando Torres dan Frank Lampard yang pantas mengatur gerakan serangan.
Pemain 50 juta pound yang dibeli dari Liverpool tahun lalu, Torres hampir menjaringkan gol pertama, namun penjaga gol negara Mohd Farizal Marlias mempamerkan aksi cemerlang apabila menampan keluar bola itu seawal minit kedua.
Malaysia hampir dihukum akibat kesilapan kapten negara Norhafiz Zamani Misbah, yang lambat menyepak bola keluar pada minit ke-17, namun sepakan Lampard di depan kotak penalti sekadar tersasar ke luar gawang negara.
S.Subramaniam dan Norhafiz Zamani Misbah kelihatan menyerlah bersama barisan pertahanan negara mengekang asakan bertali arus The Blues.
Penguasaan penuh Chelsea dalam perlawanan memaksa Ong membuat pertukaran dengan memasukkan Mohd Fandi Othman menggantikan Mohd Daudsu Jamaluddin serta Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria menggantikan Wan Zack Haikal Wan Nor, yang kurang bermaya, dan tindakan itu sedikit sebanyak membantu skuad negara.
Antara peluang terbaik pasukan negara hadir menerusi larian solo Wan Zack Haikal Wan Nor ke arah gawang lawan, namun dinafikan penjaga gol Chelsea Henrique Hilario pada minit ke-28.
Sepanjang 25 minit pertama perlawanan, penjaga gol Chelsea tidak langsung dicabar dan bagi skuad negara, hanya Wan Zack Haikal dan Hairudin Omar yang dilihat mampu memberi sedikit keresahan kepada pasukan pertahanan lawan.
Gawang Malaysia hampir dibolosi menerusi hantaran Salomon Kalou dari tepi luar kotak penalti gawang negara hasil lorongan cantik yang tidak dikawal barisan pertahanan negara, namun Lampard gagal menggunakan peluang terbaik itu apabila bola tersebut hanya tersasar dari tiang negara tiga minit sebelum babak pertama tamat.
Bagaimanapun, sebelum separuh masa tamat dan tiga minit tambahan diberikan, Mohd Farizal Marlias terlebih dahulu dipaksa bekerja keras menerusi cubaan berbahaya Yossi Benayoun dan Patrick Van Aanholt, namun beliau mengekalkan prestasi cemerlang dengan bantuan pemain pertahanan untuk menafikan percubaan tersebut.
Bersambung separuh masa kedua, pasukan Chelsea dilihat membuat pertukaran secara menyeluruh, manakala Ong menggantikan Hairudin Omar dan Mohd Badri Mohd Radzi dengan Mohd Irfan Fazail dan Gary Steven Robbat pada minit ke-52 bagi memantapkan pasukannya.
Dalam keghairahan memburu gol, benteng pertahanan negara dilihat sedikit leka, malah kerap membuat kesilapan mudah dan hampir dihukum, namun percubaan pemain gantian John Obi Mikel yang membuat larian deras hasil hantaran dari tengah padang, sedikit tersasar ke kiri tiang gol selang dua minit babak kedua bermula.
Barisan pertahanan negara terus diasak bertali arus, namun keupayaan Mohd Farizal jelas mempamerkan yang terbaik apabila menafikan beberapa percubaan menerusi Nicolas Anelka, Didier Drogbar dan Daniel Sturridge.
Peluang Malaysia sekali lagi hadir pada minit ke-67 apabila hampir menjaringkan gol sulung menerusi gerakan cantik satu dua Syahrul Azwari Ibrahim dan A.Tamil Arasu, namun tendangan Syahrul Azwari sekadar melepasi tiang.
Pada minit ke-71, Ong memasukkan Mohd Izham Tarmizi sebagai penjaga gol dan Mohd Farizal mendapat sorakan gemuruh hampir 80,000 penonton ekoran kecemerlangan aksi beliau pada perlawanan itu.
Asakan demi asakan The Blues membuahkan hasil apabila mereka diberi sepakan percuma apabila seorang pemainnya dikasari dan Didier Drogbar yang mengambil sepakan itu menyempurnakan gol tunggal The Blues pada minit ke-78.
Jaringan tersebut mencetuskan kontroversi kerana bola yang disepak Drogbar pada jarak 20 meter di luar kotak penalti jelas belum melepasi garisan gol selepas terkena palang dan melantun ke arah penjaga gol, namun penjaga garisan M. Sivanesan mengangkat bendera mengesahkan jaringan itu.
Gol itu bagai membunuh semangat pasukan negara buat seketika, namun Malaysia bangkit mempamerkan aksi cemerlang pada babak-babak terakhir dan mendapat beberapa peluang menerusi Wan Zaharul Nizam, A.Tamil Arasu dan Mohd Irfan Fazail namun penyudahnya dilihat tumpul hinggalah wisel penamat ditiup.
Ini adalah kali ketiga pasukan ternama EPL itu hadir di Malaysia.
Pada 2003, Chelsea membenam Malaysia 4-1 untuk memenangi Piala Liga Perdana FA Asia dan pada 2008, mereka sekali lagi menewaskan skuad negara 2-0 semasa Jelajah Asia di Stadium Shah Alam, Selangor.
Selepas perlawanan di sini, pasukan itu akan meneruskan siri perlawanan persahabatan mereka dengan menentang Thailand All Stars di Stadium Rajamangala, Bangkok, Ahad ini.
Chelsea juga bakal berdepan kelab juara Hong Kong Kitchee FC pada 27 Julai ini sebelum mengakhiri jelajah dengan menentang Aston Villa pada 30 Julai.