KELANTAN terus mengungguli persada liga selepas mencatat kemenangan kelima berturut- turut pada pusingan kedua Liga Super selepas membenam caba- ran Kedah 2-0 di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam kelmarin.
Jaringan pembukaan oleh pemain veteran, Muhammad Khalid Jamlus (54) dan pemain yang menerima jolokan ‘Kelantan Ekspres’, S. Chanturu pada minit ke-66 sudah cukup meletakkan Kelantan tampil dalam kelas tersendiri.
Ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu menyifatkan perlawanan malam kelmarin sebagai antara aksi terbaik pernah dipamerkan selain mengagumi ketenangan para pemainnya ketika mereka kini berada dalam situasi yang tertekan untuk menguasai persada liga.
Menurutnya, kemenangan tersebut adalah lebih daripada sekadar tiga mata yang diperoleh, sebaliknya ia merupakan tonik terbaik untuk Kelantan ketika mereka bakal berkunjung ke Negeri Sembilan, Selasa ini sebelum berdepan Selangor dalam separuh akhir Piala FA.
“Perlawanan malam semalam (kelmarin) bukan mudah untuk kita. Kedah sebuah pasukan yang kuat dan konsisten. Mereka ada ramai pemain kebangsaan dan telah menunjukkan satu persembahan yang baik sehingga kita seri ketika aksi di Alor Setar.
“Namun kita bernasib baik kerana sokongan peminat yang membanjiri stadium memberi satu kekuatan kepada pemain untuk mencari kemenangan dan akhirnya mereka membuktikan pasukan terbaik mampu memenangi perlawanan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan oleh bari- san pemainnya sepanjang perla- wanan tersebut, terutamanya pemain gantian yang dilihat memberi impak yang berkesan kepada persembahan pasukan.
Jelasnya, kekuatan Kelantan bukan terletak kepada kesebela- san utama tetapi seluruh pasukan yang mana semua pemainnya memiliki kualiti dan bersedia diturunkan pada bila-bila masa yang diperlukan
“Saya berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan oleh para pemain. Saya membawa masuk Khalid dan dia beraksi dengan baik serta menggunakan peluang yang telah diberikan. Hasilnya dia membuktikan dia masih seorang penyerang yang baik.
“Dalam pasukan tiada siapa mampu berkata mereka akan kekal dalam kesebelasan utama kerana saya sentiasa membuat pemantauan dan hanya yang terbaik akan disenaraikan kerana misi kita untuk memburu keme- nangan dalam semua perlawanan,” ujarnya.