Nicholas Chan Taruhan Terbaru The Red Warriors

Nicholas Chan semasa mewakili West Ham

KOTA BHARU – Umurnya masih muda tetapi mungkin kehebatan beliau menarik minat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut bagi memperkuatkan pasukan The Red Warriors bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Satu kejutan yang tidak diduga dalam ramai yang memperkatakan mengenai bakat muda anak Malaysia yang kini lebih berminat mencipta nama di luar negara sejak akhir-akhir ini, Kafa mengambil pendekatan lebih bijak daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila berjaya membawa pulang bakat berharga itu untuk digilap di negara ini sendiri.
Nicholas Chan, 19 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur merupakan anak kepada pemilik kelab yang beraksi dalam Liga Divisyen Satu di England iaitu Cardiff City, Datuk Chan Tien Ghee bakal beraksi bersama skuad Kelantan untuk musim depan.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dalam sidang akhbarnya di Kota Bharu semalam betapa pihak Kafa begitu serius mendapatkan khidmat pemain yang bermain di posisi pertahanan dan tengah itu.
“Kita akan mendapatkan khidmat Nicholas Chan. Saya telah berunding dengan ibu bapa beliau dan mendapat kebenaran untuk membolehkan beliau mewakili Kelantan untuk musim depan. Kita mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa beliau yang bersetuju membenarkan anaknya mewakili Kelantan,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
“Beliau masih berada Australia ketika ini dan dijangka kembali ke Malaysia sebelum perayaan Krismas ini. Namun memandangkan umur beliau masih muda, kita akan mendaftarkan beliau dalam senarai pemain Liga Simpanan Kelantan musim depan.
“Namun begitu beliau akan diserapkan ke dalam barisan pemain Liga Super Kelantan. Dalam erti kata lain beliau akan menjadi pemain ke 25 Kelantan dan kini melengkap senarai penuh pemain Kelantan musim depan,” katanya.
Nicholas Chan memulakan karier beliau sebagai pemain bola sejak berumur 15 tahun dimana ketika itu beliau menuntut di Sekolah Sri KDU dengan menyertai kejohanan Piala Gothia di Sweden.
Selain pernah mencuba nasib bersama kelab West Ham dan Burnley, tumpuan peminat bola sepak Kelantan malahan peminat bola sepak di negara ini pasti terarah kepada kelibat Nicholas Chan dalam pentas Liga Malaysia musim depan.