MALAYSIA GERGASI BOLASEPAK RANTAU ASIA TENGGARA

INDONESIA,  - Skuad kebangsaan mencatat sejarah apabila muncul juara Piala Suzuki AFF buat pertama kali selepas menang secara aggregat 4-2 ke atas Indonesia meskipun tewas 2-1 pada perlawanan kedua yang berlangsung di Stadium Bung Karno, Jakarta.
Malaysia berjaya menewaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan pertama lalu yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil untuk membawa kelebihan selesa bertandang ke gelanggang lawan.
Menyedari ketinggalan tiga gol secara aggregat, pasukan Indonesia melancarkan serangan bertali arus sebaik sahaja permainan bermula.
Seawal 10 minit pertama, kedua-dua pasukan bermula dengan rentak lebih berhati-hati bagi mencari rentak permainan.
Namun kawalan serta penguasaan bola lebih memihak kepada pasukan tuan rumah dengan beberapa gerakan menarik ke arah kubu pasukan Malaysia tetapi pujian harus diberikan kepada penjaga gol negara Khairul Fahmi yang bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan merbahaya.
Kehebatan Fahmi terserlah apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti yang diambil ketua pasukan Firman Utina pada minit ke-17 selepas pengadil perlawanan mendapati bola terkena tangan pemain pertahana negara Mohd Sabree Mat Abu.
Kecewa menyudahkan sepakan penalti, anak buah Alfred Riedl menggandakan asakan ke setiap penjuru pintu gol Malaysia namun ayam tambatan mereka Cristian Gonzalez serta ketua pasukan Firman buntu mencari jalan untuk menembusi gawang gol negara yang kebal dibawah kawalan Fahmi.
Separuh masa pertama menyaksikan kawalan dan penguasaan lebih memihak kepada Indonesia yang dibantu hampir 80,000 penyokong setia namun kelincahan Fahmi sekitar kawasan kotak penalti memeningkan kepala para pemain Indonesia serta jurulatih mereka.
Penyerang negara Mohd Safee Sali serta pemain tengah lincah Norshahrul Idlan Talaha juga beberapa kali berjaya mengacah kubu lawan Indonesia sepanjang separuh masa pertama namun seringkali disekat para pemain pertahanan Indonesia.
Kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Masuk separuh masa kedua tiada sebarang pertukaran dilakukan oleh kedua-dua pasukan dengan Indonesia mengekalkan rentak permainan pantas serta menyerang ke arah kubu negara.
Terleka mengasak mengakibatkan benteng pertahanan Indonesia alpa dan tidak melakukan kawalan ketat ke atas pemain negara.
Kealpaan tersebut mengundang padah buat Indonesia apabila anak buah K. Rajagobal menambah derita pasukan tuan rumah dengan menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-53 hasil jaringan rembatan kencang oleh penjaring terbanyak kejohanan Safee Sali.
Gol Safee tersebut nyata memberi tekanan buat pasukan Indonesia yang semakin lesu dan longlai meskipun bermain di gelanggang sendiri.
Menyedari percaturan yang serba tidak menjadi, Riedl melakukan tiga pertukaran serentak dengan membawa masuk Eka Ramdani, Bambang Pamungkas dan Tony Sucipto untuk mengukuhkan bahagian serangan yang tampak semakin tumpul.
Usaha keras pasukan Indonesia akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit 71 menerusi Mohammad Nasuha yang berjaya menyudahkan bola muntah yang gagal ditangkap kemas Fahmi.
Tersentak dengan gol penyamaan tersebut, skuad kebangsaan melancarkan percubaan merbahaya ke atas kubu pihak lawan menerusi beberapa serangan balas secara mengejut.
Percubaan jarak jauh Mohammad Ashari dan tandukan Norshahrul hampir menambah gol buat Malaysia namun kecekapan penjaga gol Indonesia Markus Rihihina menafikan peluang tersebut.
Tidak menyerah kalah, Indonesia merapatkan kedudukan dengan Malaysia apabila menambah satu lagi gol pada babak akhir (88 min) menerusi Muhammad Ridwan untuk mendahului Malaysia 2-1.
Kedudukan 2-1 kekal hingga tamat permainan dan skuad kebangsaan akhirnya menamatkan penantian sekian lama dengan muncul juara Piala Suzuki AFF buat julung kalinya serta menamatkan kalendar tahun 2010 dengan penuh bergaya.
Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hari Jumaat, 31 Disember sebagai cuti umum diatas kejayaan pasukan negara.

SKUAD NEGARA DIPUJI FERDINAND

KEJAYAAN skuad negara menjulang Piala AFF Suzuki buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun dengan menewaskan Indonesia 4-2 secara agregat bukan hanya mendapat pujian peminat tempatan dan pemimpin tertinggi negara, malah pemain bek tengah Manchester United, Rio Ferdinand turut mengucap tahniah dan memuji pasukan negara.
“Saya pernah menentang skuad bawah 23 tahun Malaysia 18 bulan lalu, mereka sebuah pasukan yang bagus. Tahniah kepada Malaysia,” kata pemain itu di laman sosial twitter.com peribadinya.

INDONESIA TAK HEBAT SANGAT


MALAYSIA mengesahkan status sebagai ‘Raja Asia Tenggara’ apabila dinobatkan juara baru Piala Suzuki AFF edisi kelapan apabila menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta semalam.
Kejayaan ini membolehkan Malaysia mencipta sejarah meraih kejuaraan kali pertama Piala AFF Suzuki sepanjang 14 tahun kejohanan ini mula dilangsungkan serta menjadi pasukan keempat bergelar juara selepas Thailand, Singapura dan Vietnam.
Skuad Harimau Malaya yang turun dengan bekalan tiga gol pada aksi perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno nyata tidak gentar dengan sorakan kira-kira 95,000 penyokong Sang Garuda di dalam stadium.
Mereka sebaliknya turun dengan penuh bersemangat dan bijak mengawal permainan bagi mengekalkan kelebihan tiga gol yang dimiliki hasil kemenangan di perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional, Ahad lalu.
Separuh masa pertama memang mendebarkan untuk jutaan rakyat Malaysia apabila Indonesia yang turun untuk mencari jaringan besar melancarkan serangan sejak minit pertama perlawanan lagi dengan sokongan kira-kira 200,000 penyokong di luar dan di dalam stadium.
Gandingan Cristian Gonzales dan Irfan Haarys Bachdim nyata menggugat apabila gandingan dua ''pemain asing' itu kerap kali menguji gawang Malaysia yang dikawal rapi Khairul Fahmi Che Mat.
Serangan bertali arus Indonesia itu akhirnya membuahkan hasil dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil dari Australia, Peter Daniel Green selepas pemain pertahanan kanan, Mohd Sabre Mat Abu tersentuh bola di dalam kotak penalti.
Namun kecemerlangan Khairul Fahmi menafikan gol apabila menangkap kemas sepakan kapten Indonesia, Firman Utina.
Malah penjaga gol dari Kelantan itu berjaya menggagalkan beberapa percubaan lawan di separuh masa kedua walaupun 'diserang dengan laser' oleh penyokong Indonesia ketika bersedia untuk menghadapi sepakan sudut dan percuma pada 10 minit pertama.
Malaysia, turun dengan jersi biru dan berseluar hitam bagaimanapun berjaya bertahan sepanjang 45 minit pertama walaupun hampir keseluruhan permainan dikuasai lawan yang tidak mengenal erti putus asa menyerang Malaysia dengan sekurang-kurang 10 percubaan berbahaya dilancarkan ke kubu negara.
Ia bagaimanapun dinafikan dengan kecekapan Khairul Fahmi serta persefahaman yang tinggi dikalangan pemain pertahanan yang diketuai oleh dua pemain muda, Mohd Muslim Ahmad dan Mohd Fadhli Shas.
Bersambung babak kedua, anak-anak buah Alfred Riedl terus mengasak namun usaha mereka itu memakan diri apabila melalui satu serangan balas Malaysia menjaringkan gol melalui rembatan kencang Mohd Safee Sali pada minit ke-53 untuk gol kelimanya pada kejohanan ini untuk menceriakan kira-kira 500 penyokong Harimau Malaya yang hadir di Jakarta.
Gol itu juga mengesahkan kedudukannya sebagai penjaring terbanyak dengan lima gol meninggalkan ayam tambatan Indonesia Gonzales yang hanya mampu menjaringkan tiga gol.
Semakin terdesak untuk menjaringkan gol, Indonesia melakukan dua pertukaran serentak dengan mengeluarkan pemain berdarah kacukan Indonesia-Belanda, Irfan Haarys Bachdim dengan memasukkan bekas penyerang Selangor, Bambang Pamungkas dan Eka Ramdani yang menggantikan kapten pasukan, Firman Utina.
Ketua jurulatih kebangsaan, K Rajagobal bertindak balas dengan segera apabila mengeluarkan pemain tengah, Amar Rohidan untuk digantikan dengan pemain pertahanan, Mohd Razman Roslan. untuk menambahkan kesukaran Sang Garuda yang perlu mencari sekurang-kurangnya lima gol.
Namun usaha tidak mengenal putus asa akhirnya membuahkan hasil apabila percubaan pemain pertahanan, Mohammad Nasuha pada minit ke-71 menewaskan Khairul Fahmi untuk menggamatkan stadium. dengan sorakan penyokong Sang Garuda serta letusan bom asap.
Muhammad Ridwan menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-87 untuk keputusan 2-1 itu dan kekal sehingga wisel penamat ditiup bagi menobatkan Malaysia sebagai juara baru Piala AFF Suzuki 2010.

Nicholas Chan Taruhan Terbaru The Red Warriors

Nicholas Chan semasa mewakili West Ham

KOTA BHARU – Umurnya masih muda tetapi mungkin kehebatan beliau menarik minat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut bagi memperkuatkan pasukan The Red Warriors bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Satu kejutan yang tidak diduga dalam ramai yang memperkatakan mengenai bakat muda anak Malaysia yang kini lebih berminat mencipta nama di luar negara sejak akhir-akhir ini, Kafa mengambil pendekatan lebih bijak daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila berjaya membawa pulang bakat berharga itu untuk digilap di negara ini sendiri.
Nicholas Chan, 19 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur merupakan anak kepada pemilik kelab yang beraksi dalam Liga Divisyen Satu di England iaitu Cardiff City, Datuk Chan Tien Ghee bakal beraksi bersama skuad Kelantan untuk musim depan.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dalam sidang akhbarnya di Kota Bharu semalam betapa pihak Kafa begitu serius mendapatkan khidmat pemain yang bermain di posisi pertahanan dan tengah itu.
“Kita akan mendapatkan khidmat Nicholas Chan. Saya telah berunding dengan ibu bapa beliau dan mendapat kebenaran untuk membolehkan beliau mewakili Kelantan untuk musim depan. Kita mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa beliau yang bersetuju membenarkan anaknya mewakili Kelantan,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
“Beliau masih berada Australia ketika ini dan dijangka kembali ke Malaysia sebelum perayaan Krismas ini. Namun memandangkan umur beliau masih muda, kita akan mendaftarkan beliau dalam senarai pemain Liga Simpanan Kelantan musim depan.
“Namun begitu beliau akan diserapkan ke dalam barisan pemain Liga Super Kelantan. Dalam erti kata lain beliau akan menjadi pemain ke 25 Kelantan dan kini melengkap senarai penuh pemain Kelantan musim depan,” katanya.
Nicholas Chan memulakan karier beliau sebagai pemain bola sejak berumur 15 tahun dimana ketika itu beliau menuntut di Sekolah Sri KDU dengan menyertai kejohanan Piala Gothia di Sweden.
Selain pernah mencuba nasib bersama kelab West Ham dan Burnley, tumpuan peminat bola sepak Kelantan malahan peminat bola sepak di negara ini pasti terarah kepada kelibat Nicholas Chan dalam pentas Liga Malaysia musim depan.

KAFA umum pemain


KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengumumkan senarai 24 pemain yang akan membawa cabaran skuad The Red Warriors bagi menghadapi Liga Malaysia musim depan.
Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa pada sidang medianya berkata, pihak Kafa hanya mendaftar seramai 24 pemain daripada kuota 25 pemain, yang diperuntukkan bagi pendaftaran pemain untuk saingan Liga Malaysia musim depan.
“Tarikh pendaftaran pemain ditutup dua hari lalu. Kita tidak boleh mendaftarkan selengkapnya (25 pemain) kerana tiga pemain berhenti tanpa menghantar notis dan kita tidak dapat mencari pengganti yang sesuai kerana kesuntukan masa.
“Sepanjang ketiadaan saya, memang saya mengikuti perkembangan semasa pelbagai cerita mengenai pasukan namun saya tidak akan komen mengenai perkara itu. Saya akan membincangkan mengenai persiapan pasukan serta matlamat kita bagi menghadapi Liga Malaysia musim akan datang.
“Kita tidak mempunyai masa yang cukup, mencari pengganti ketiga-tiga pemain tersebut kerana semua pasukan sudah mendaftarkan pemain-pemain lain. Ini sedikit sebanyak, mencacatkan perancangan pasukan tetapi saya percaya ianya tidak mencacatkan kekuatan pasukan,” katanya di Kota Bharu, semalam.
Annuar berkata, pihak Kafa hanya mengekalkan seramai 20 pemain musim lalu dan hanya lima pemain sahaja yang dilepaskan dan digugurkan.
“Kita mendaftarkan tiga penjaga gol musim depan. Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi (Che Mat) dan Mohd Shahrizan (Ismail) kekal sebagai penjaga gawang. Kita juga mendaftarkan penjaga gol muda, Norhadi Ubaidillah sebagai penjaga gol ketiga Kelantan.
“Syed Adney (Syed Hussien) dipinjamkan kepada pasukan Sabah untuk tempoh setahun.
“Saya memberi opsyen kepada beliau untuk kembali bersama Kelantan tahun berikutnya atau apa yang difikirkan sesuai nanti.
“Sementara itu, Hairuddin (Omar) dan Akmal Rizal (Ahmad Rakhli) memang dilepaskan oleh Kafa sebaik musim lalu berakhir.
“Untuk senarai pasukan Kelantan, kita mempunyai lapan pemain di posisi pertahanan, tujuh pemain serta lima pemain di bahagian serangan.
“Saya juga ingin memaklumkan bahawa kita akan mendapatkan khidmat pemain muda, Nicholas Chan yang berusia 19 tahun yang kini bersama kelab Cardiff City bagi memperkuatkan cabaran pasukan Kelantan musim depan.
“Saya berunding dengan bapa beliau bagi membolehkan beliau beraksi dengan Kelantan musim depan, dan sekiranya tidak ada apa-apa halangan kita akan menandatangani perjanjian dengan pemain tersebut untuk menguatkan pasukan Kelantan,” katanya.
Senarai Pemain Skuad Liga Super Kelantan musim 2011
Penjaga Gol : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Shahrizan Ismail dan Norhadi Ubaidillah
Pertahanan : S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail, Mohammad Ab Aziz Ismail, Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Zairul Fitree Ishak dan Wan Rohaimi Wan Ismail.
Tengah : Muhd Badhri Muhd Radzi (Ketua Pasukan), Khairan Eroza Razali, Mohd Shakir Saari, Wan Zaman Wan Mustapha, K Soley, Mohd Nurul Azwan Roya, Zul Yusri Che Harun dan Danial Fadzly Abdullah.
Penyerang : Norshahrul Idlan Talaha (Penolong Ketua Pasukan), Muhammad Khalid Jamlus, Muhammad Ramzul Zahini Adenan, Mohd Nizab Ayub dan S Chanturu.

Kijang tagih khidmat Wan Rohaimi

Wan Rohaimi Wan Ismail

KEPERCAYAAN diberikan Persatuan Bola Sepak Negeri Kelantan (Kafa) memberi inspirasi buat bekas pemain kebangsaan, Wan Rohaimi Ismail Wan Ismail (gambar) untuk membantu skuad itu mencipta kejayaan lebih besar pada saingan Liga Malaysia musim depan.
Wan Rohaimi berkata, kejayaan muncul juara Piala Malaysia musim ini diharap meletakkan Kelantan pada prestasi lebih baik, sekali gus mengulanginya dan menambah koleksi kejuaraan.
Menurutnya, ketiadaan beberapa pemain diharap tidak menjejaskan rentak cemerlang Kelantan kerana pemain baru termasuk dirinya berazam mempamerkan persembahan terpuji.

“Saya berterima kasih kepada Kafa kerana menaruh kepercayaan untuk mengukuhkan jentera pertahanan Kelantan musim depan. Kepercayaan itu juga memberi lebih keyakinan mencipta kegemilangan bagi musim 2011.
“Tiada yang lebih bermakna selain memberi kerjasama sebaik mungkin kepada pasukan terutama sokongan daripada rakan seperjuangan,” katanya.
Musim ini, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu menyarung jersi Johor FC yang diwakili empat musim dari 2007-2010.


Pemain berusia 34 tahun itu pernah mewakili Kelantan pada 1996-1998, diikuti Pahang (1999-2000), Terengganu (2001-2002), Pulau Pinang (2003), Public Bank (2004-2005) dan Selangor 2006).
Pencapaian terbaik Wan Rohaimi ialah membantu Pahang muncul juara Liga Perdana pada 1999, juara Piala Malaysia bersama Terengganu (2001) manakala naib juara Liga Super pada 2004 bersama Public Bank.


Mengulas pengalaman bersama jurulatih, B Satianathan, Wan Rohaimi pernah bersama ketika jurulatih itu bertindak sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan pada 2004.

“Saya percaya beliau mampu mengulanginya. Saya serta rakan lain akan mempamerkan aksi terbaik untuk mencipta kejayaan lebih besar,” katanya.

PEMAIN MALAYSIA DI LUAR NEGARA??

Brendan Gan
Shaun Maloney
Ash Hameed
Takeshi Takeda


SEDAR atau tidak, Malaysia sebenarnya mempunyai beberapa pemain berbakat yang sedang menimba ilmu di luar negara.
Adakah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyedarinya atau 'buat-buat' tak sedar?
Minggu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan mengambil jalan pintas dalam program pembangunan atlet dan komited mahu melahirkan atlet bertaraf dunia dari kalangan rakyat tempatan.
Beliau mengeluarkan penjelasan tersebut seba- gai respons terhadap cadangan menggunakan khidmat pemain negara lain bagi mewakili pasukan kebangsaan khususnya bola sepak.
Pendirian Ahmad Shabery itu mendapat sokongan daripada beberapa peminat sukan tempatan yang mahu melihat kecemerlangan sukan negara seha- rusnya digalas oleh anak tempatan.
"Saya sebagai warganegara Malaysia bersetuju dengan kenyataan Datuk Shabery mengenai perkara ini," jelas seorang peminat, Ghzalie Zali yang meluahkan pandanganya melalui e-mel kepada Kosmo!
Menurutnya, beliau tidak bersetuju dengan cadangan mengimport ahli sukan kerana ia bukan produk tulen yang dilahirkan oleh negara.
Katanya lagi, sejak beberapa hari lalu, ramai di kalangan peminat bola sepak tempatan membica- rakan kewajaran menggunakan khidmat pemain negara lain bagi mewakili pasukan kebangsaan khususnya bola sepak.
"Langkah tersebut tidak wajar kerana Malaysia tidak ketandusan ahli sukan berwibawa. Cuma yang kurangnya, persatuan sukan kebangsaan tidak berfungsi dengan baik untuk melahirkan atlet berwibawa," jelasnya.
Dalam sukan bola sepak, terdapat ramai anak tempatan yang mula melakar nama dengan kelab- kelab terkemuka di luar negara.
FAM sebagai badan induk bola sepak di negara ini seharusnya melakukan sesuatu untuk mencari anak tempatan ataupun yang berdarah Malaysia sedang bermain di luar negara.
Mereka ini harus dibawa balik ke bumi Malaysia untuk memperkuatkan skuad kebangsaan yang masih mengalami nasib terumbang-ambing di pentas antarabangsa.
Beberapa pemain tempatan yang dikenal pasti sedang menimba ilmu di luar negara adalah Brendan Gan, Takashi Takeda, Nicholas Chan, Tham Sheang Sung dan Ash Hameed.
Brendan dilahirkan pada 3 Jun 1986 di Suther- land Shire, Sydney, Australia dan bapanya berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.
Brendan disebut-sebut sebagai salah seorang pemain paling berbakat di Australia yang mewakili kelab Sydney FC dan bermain di posisi midfield.
Takashi Takeda pula dilahirkan pada 27 Julai 1986 di Pulau Pinang dan kini bermain dalam Liga Jepun (Liga-J Divisyen 2) dengan kelab Fagiano Ogayama FC dan bermaian di posisi pertahanan tengah dan bek kanan.
Nicholas Chan, 19, adalah anak kepada pemilik kelab Cardiff City iaitu Datuk Chan Tian Ghee.
Dia dianggap pemain serba boleh yang menjana bahagian tengah.
Tham Sheang Sung pula merupakan anak kepada pasangan Tam Yung Tong (bapa) dan Ang Hui Chin (Ibu) yang berumur 15 tahun bermain di Liga J (Divisyen 2) dengan kelab FC Yokohama.
Ash Hameed, 13, yang berasal dari Selangor kini dikatakan telah mengikat kontrak selama 2 tahun bersama pasukan Queens Park Rangers (QPR).
Bapanya pernah bermain bersama skuad belia negara dan Selangor pada tahun 1988 hingga 1990.
Apa yang diharapkan adalah agar FAM membuka mata dan memantau perkembangan pemain-pemain terbabit yang boleh menjadi aset kepada skuad kebangsaan.
Mereka adalah pemain-pemain yang berbakat dan negara akan kerugian andainya pemain-pemain tersebut hilang begitu sahaja.
Persoalannya, mahukah pemain-pemain ini beraksi dalam liga tempatan yang kurang menyediakan persaingan berbanding di Jepun dan England?

KELANTAN JUARA PUNCAK PIALA EMAS RAJA-RAJA 2010

KELANTAN memang hebat.
Semalam, mereka muncul juara kejohanan bola sepak Puncak Piala Emas Raja-Raja Ke-70 selepas menewaskan Kedah 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa tambahan pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, lapor ZAID MOHD. NOOR.
Jaringan Kelantan dilakukan oleh Rosairil Asrol Mat Nor, Mohamad Aris Zaidi, Ahmad Ezrie Shafizie Sazali dan Khairan Ezuan Razali.
Gol Kedah pula dijaringkan oleh Ahmad Fauzi Shaari, Shafizan Hashim dan Mohd. Firus Hashim.
Bagaimanapun, Kelantan mempunyai peluang terbaik pada minit kelapan apabila penyerangnya, Mohamad Ramzul Zahini Adenan yang melakukan gerakan cantik memasuki kotak penalti tetapi bola ditolak keluar pemain lawan sebelum sempat pemain itu melakukan rembatan ke gol.
Pada minit ke-15, Mohd. Aris Zaidi melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti tetapi sedikit melepasi sasaran.
Skuad Kelantan yang melakukan serangan bertali arus mencari gol semangat, sekali lagi mendapat peluang melalui percubaan Mohamad Ramzul yang hanya berhadapan dengan penjaga gol Kedah, Mohd. Al-Hafiz Hamzah pada minit ke-17, namun sentuhannya tidak tepat ke arah gol lawan.
Kedah yang banyak bertahan pada separuh masa pertama tidak ketinggalan melakukan serangan balas melalui Mohd. Hazwan Zainun dan Wan Mohd. Asraf Wan Ali tetapi berjaya dipatahkan pertahanan tuan rumah yang diperkuatkan oleh ketua pasukan, Sharudy Aziz.

Annuar Bidas Kenyataan Akmal Rizal


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengambil tindakan tegas terhadap bekas pemain, Akmal Rizal Rakhli kerana mengeluarkan kenyataan yang memburukkan persatuan itu, lapor YATIMIN ABDULLAH.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas pemain kebangsaan itu tidak tepat sama sekali kerana pihaknya masih belum membayar sebarang bonus kepada mana-mana pemain yang menjulang Piala Malaysia baru-baru ini.
Beliau berkata, KAFA sedang menunggu sumbangan daripada semua pihak termasuk Kerajaan Pas Kelantan sebelum bayaran bonus dibuat sepenuhnya kepada para pemain.
“Jumlah bayaran kepada para pemain juga masih belum diputuskan lagi. Apa yang telah dibayar ialah bayaran sebagai ganti kepada yuran menandatangani perjanjian bagi mereka yang menyambung kontrak dan tambahan gaji kepada semua pemain yang kekal berkhidmat dengan KAFA.
“Saya percaya mereka yang pindah juga dapat benda sama dengan pasukan baru mereka, apakah KAFA kena samakan pemain yang setia dengan pasukan pemain yang lompat mencari wang lebih semata-mata,” katanya kepada melalui pesanan khidmat ringkas (SMS) semalam.
Beliau mengulas kenyataan Akmal yang mendakwa KAFA tidak berpegang kepada janji dan tidak adil dalam isu pembahagian bonus kemenangan Piala Malaysia musim lalu.
Bagaimanapun Annuar tidak menjelaskan bentuk tindakan yang bakal diambil terhadap Akmal Rizal.
Kosmo! semalam Akmal Rizal membidas KAFA yang didakwa tidak berpegang kepada janji dalam isu pembahagian bonus kemenangan Piala Malaysia musim lalu.
Akmal mendakwa dia bersama lima lagi pemain tidak diberikan bonus kerana mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan Kelantan sebaik sahaja musim Liga Malaysia 2010 berakhir.
Sementara itu, bekas peledak berbisa Kelantan, Hairuddin Omar mengambil sikap berdiam diri dan enggan mengulas kenyataan yang dikeluarkan Akmal Rizal.
Hairuddin menyerahkan isu itu kepada pucuk pimpinan tertinggi Kafa untuk menyelesaikanya.
“Saya lebih suka mengambil sikap berdiam diri dan tidak memberikan sebarang komen dalam isu ini, sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada ketua jurulatih B. Sathianathan untuk menyelesaikanya.
“Lagipun ketua jurulatih sudah pun berjanji membantu menyelesaikan masalah ini sebaik sahaja Tan Sri Annuar pulang dari bercuti,” katanya.

Penampilan Berbeza Khalid


KOTA BHARU – Sentuhan bekas penyerang kebangsaan, Muhammad Khalid Jamlus ketika beraksi bersama Kelantan musim lalu kadang-kala menjadi kadang-kala tidak, tetapi itu tidak bermakna selepas hampir setahun tidak menyentuh bola prestasi beliau merudum.
Sebaliknya, kepakaran beliau yang mempunyai keupayaan menghidu peluang terbuka dan berkeupayaan menjaringkan gol dalam situasi sukar dalam kotak penalti terus ditagih bagi memperkuatkan jentera serangan Kelantan untuk musim depan.
Itulah kelebihan Muhammad Khalid, 33 tahun, bekas pemain yang pernah menyarung jersi Kelantan musim lalu dan merupakan pemain terbaru yang menganggotai skuad Kelantan untuk musim depan selain pemain pertahanan, Wan Rohaimi Wan Ismail (Johor FC) dan Danial Fadzly Abdullah (ATM).
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, pihak pengurusan Kafa dan jurulatih, B Sathianathan yang memberi kepercayaan kali kedua kepada saya menyarung jersi Kelantan untuk musim depan.
“Apa yang boleh saya katakan ini merupakan satu peluang bagi saya membuktikan kemampuan saya. Mungkin tahun lepas saya kurang menonjol, jadi saya berharap tahun depan saya akan membuat penampilan berbeza dengan menunjukkan persembahan terbaik.
“Yang penting bagi saya ialah buat yang terbaik untuk pasukan Kelantan untuk tahun depan. Buat masa ini saya hendak mencari gol pertama dahulu. Lepas itu baru saya fikir macam mana hendak mendapatkan gol seterusnya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Muhammad Khalid, pemain yang digantung tidak bertali sepanjang musim ini oleh ATM bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai nasib yang menimpanya.
“Kita tutup buku lama dan buka buku baru. Orang tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku, hanya saya yang tahu. Itu semua menjadi sejarah hitam dalam hidup saya yang tidak mungkin akan dilupakan sampai bila-bila.
“Insya-Allah saya buktikan kepada para peminat bahawa saya masih lagi mempunyai sentuhan berbisa. Harapan tahun depan, saya berharap kita dapat mengekalkan piala yang dah ada dan berusaha untuk memburu dua piala lagi.
Ditanya adakah beliau mendapat tawaran daripada mana-mana pasukan sebelum memilih kembali bermain bersama Kelantan untuk musim depan, Muhammad Khalid mengakui pernah dijanjikan oleh seseorang untuk bermain dengan sebuah pasukan namun janji tersebut hanya omongan kosong.
“Memang saya ada dijanjikan untuk mendapat tempat dalam sesebuah pasukan, jadi saya pun dah buat yang terbaik beraksi dalam kejohanan Piala Emas Raja-Raja, namun janji tersebut hanya tinggal janji,” katanya.