PEMAIN bola sepak Kelantan akan mula melapor- kan diri esok bagi memulakan sesi latihan sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan berkata, sesi latihan pula hanya akan bermula keeso- kan harinya selepas kesemua pemain skuad The Red Warriors termasuk tiga muka baru melaporkan diri.
Tiga pemain baru yang akan memperkuatkan cabaran The Red Warriors ialah Nurul Azuan Roya dari Johor FC, K. Soley (Perlis) dan Mohamad Abdul Aziz Ismail.
"Pemain yang ada sudah mencukupi, setakat ini hanya tiga pemain itu sahaja yang dibawa masuk.
"Kemasukan tiga pemain itu dilihat akan memantapkan serta memperkukuhkan lagi barisan pemain yang sedia ada dalam pasukan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, Sathianathan memberitahu, beliau tetap akan memberikan peluang kepada pemain-pemain pelapis untuk membarisi skuad utama Kelantan.
"Berdasarkan pemerhatian yang dibuat, saya lihat ada tiga pemain muda yang boleh diketengah- kan untuk musim depan," katanya.
Musim depan, Kelantan bakal tampil tanpa keli- bat dua peledak berpengalaman iaitu Hairuddin Omar yang berhijrah ke Negeri Sembilan dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli pula menyarung jersi Perak.

2012 tahun tranformasi MSL

SAINGAN bola sepak Liga Super Malaysia (MSL) bakal mengalami satu transformasi baru bagi saingan musim 2012 sambil dijadikan musim transisi ke arah itu.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa berkata, zaman bola sepak yang mengharapkan ihsan kewangan tidak akan terus bertahan lama dan sudah tiba masanya nilai MSL dipertingkatkan.
"Kita harus pastikan apakah nilai sebenar MSL supaya sektor swasta dapat masuk membuat pelaburan dan akhirnya mereka dapati bola sepak Malaysia boleh memberi pulangan yang baik.
"MSL memang mempunyai potensi sedemikian. Sekarang tajaan tahunan ialah RM18 juta. Ia boleh saya anggap di bawah nilai sebenar.
"Jadi berdasarkan perkembangan setiap pasukan bertanding ketika ini, sepatutnya nilai MSL ialah antara RM30 juta hingga RM40 juta," katanya pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100 PLUS- FAM 2010 semalam.
Bagi memastikan transformasi MSL musim 2012 itu berjalan seperti apa yang dirancang, Annuar berkata, setiap pasukan yang akan bertanding pada musim 2011 diingatkan lebih awal supaya dapat mempersiapkan pasukan masing- masing ke arah tersebut.
"Pada mulanya FAM mahu melakukan transformasi ini untuk musim 2011. Tetapi kita berasakan masa terlalu suntuk. Jadi musim 2011 akan dianggap sebagai musim transisi.
"Menjelang bulan April tahun depan, kita akan letakkan satu penanda aras kepada setiap pasukan ini tentang kriteria perlu mereka ada bagi memasuki MSL 2012. Jadi jangan pula beri alasan, FAM tidak beri masa kepada mereka.
"Untuk melahirkan skuad kebangsaan yang baik, kita kena ada liga yang baik dengan menghidangkan saingan kompetitif, barisan pemain import yang hebat dari luar dan serata Asia serta memiliki pasukan bertanding yang berkualiti," jelas Annuar.
Dalam perkembangan lain, Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih berteka-teki sama ada akan menge- kalkan jawatan tersebut atau melepaskannya bagi penggal akan datang.
"Sepatutnya pemilihan akan berlangsung pada 6 November ini. Tetapi ada isu teknikal yang menyebabkan ia terpaksa ditangguhkan ke penghujung Disember depan untuk memilih barisan kepimpinan KAFA bagi tiga tahun akan datang.
"Saya lebih suka kalau ada individu yang tampil menawarkan diri untuk memajukan bola sepak Kelantan. Saya sendiri belum buat apa-apa keputusan sama ada akan mempertahankan jawatan atau sebaliknya," katanya.

Rai kejayaan Red Warriors juarai Piala Malaysia selepas penantian 89 tahun

DUA kali bas dinaiki skuad Kelantan rosak dalam perjalanan pulang semalam, namun ia tidak menjejaskan kemeriahan pesta meraikan Piala Malaysia yang selamat kembali ke negeri Cik Siti Wan Kembang.
Kejayaan pasukan bergelar The Red Warriors membawa pulang piala berprestij buat julung kali dalam sejarah 89 tahun penganjurannya, ternyata amat ditunggu-tunggu semua lapisan rakyat.
Kira-kira 3,000 peminat membanjiri Dataran KESEDAR, Gua Musang semata-mata meraikan kejayaan manis itu yang tercetus dari semangat pemain pasukan itu yang bangkit dari ketinggalan 1-0 untuk membenam lawan dari Negeri Sembilan 2-1 dalam final rancak di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa yang berwajah ceria ketika berucap di majlis berkenaan memohon maaf kerana kelewatan sebab dua bas yang digunakan pasukan itu mengalami kerosakan di tengah jalan sebelum terpaksa meneruskan perjalanan dengan menggunakan kereta.

“Perjalanan pasukan Kelantan mencapai kejayaan ini ditempuhi dengan penuh keringat dan air mata. Untuk berjaya kita mesti bersatu dan berusaha, jangan menunggu hanya nak meraikan kejayaan sahaja.

“Saya gembira melihat ramai yang datang meraikan pasukan ini. Bagi saya kejayaan ini adalah hasil kebangkitan semangat semua pemain selepas ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama,” katanya.
Selepas beredar dari Galas, pasukan terbabit menuju ke Kota Bharu menyertai acara perarakan melalui Kok Lanas, Ketereh, Mulong, Wakaf Che Yeh, Wakaf Siku, sebelum berakhir di Stadium Sultan Mohamed ke-IV. Mereka juga diraikan jamuan di kediaman Annuar dekat Sri Puri, Bukit Marak.

Kelantan Juara Piala Malaysia


NEGERI SEMBILAN 1
Shahurain Abu Samah (pen m-14)
KELANTAN 2
Hairuddin Omar (m-57)
Muhd Badhri Radzi (m-65)
KUALA LUMPUR – Kelantan muncul juara Piala Malaysia edisi kali ke-84 setelah mengalahkan juara musim lalu, Negeri Sembilan dengan kemenangan 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.
Lebih manis, kejayaan muncul juara pertama kali itu merupakan hadiah istimewa sempena pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru, Sultan Muhammad Ke-V. Kejayaan malam tadi membolehkan nama Kelantan terpahat dalam senarai pemenang kali pertama dalam perebutan piala paling berprestij itu sejak ianya dipertandingkan pada tahun 1921.
Beraksi dihadapan hampir 90,000 penonton, dengan didominasi sokongan penyokong setia Merah Putih, The Red Warriors jelas membuktikan mengapa mereka tidak boleh digelar sebagai kuasa baru dalam arena bola sepak tempatan apabila mempamerkan aksi kelas yang tersendiri biarpun ketinggalan satu gol pada separuh masa yang pertama.
Sementara kekalahan malam tadi memaksa barisan pemain Negeri Sembilan  menelan kepahitan gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya musim lalu apabila terpaksa merelakan piala tersebut untuk dibawa pulang ke bumi Negeri Cik Siti Wan Kembang buat pertama kali.
Dua gol dalam tempoh lapan minit pada awal babak kedua menerusi jaringan Hairuddin Omar dan Muhd Badhri Radzi akhirnya menjulang Kelantan sebagai juara baru Piala Malaysia edisi kali ke-84.
Seawal minit pertama, Kelantan terlebih dahulu menguji pintu gol Negeri Sembilan apabila sepakan percuma Ketua Pasukan, Indra Putra Mahayuddin dari sebelah kanan penjuru pintu gol ditanduk tinggi oleh Mohd Rizal Fahmid Abd Rosid melepasi palang gol Negeri Sembilan.
Selang seminit kemudian, Negeri Sembilan melakukan serangan balas menerusi lorongan bola Abdul Halim Zainal kepada rakan sepasukan namun Khairul Fahmi Che Mat bijak meluru keluar menyelamatkan situasi tersebut.
Pada m-7, Negeri Sembilan sekali lagi mempunyai peluang terbaik apabila hantaran lintang S Kunalan disambut Idris Abdul Karim tetapi tampanan kurang kemasnya mudah diselamatkan Khairul Fahmi.
Pada m-14, Negeri Sembilan dihadiahkan sepakan penalti setelah Khairul Fahmi menjatuhkan pemain Negeri Sembilan didalam kotak penalti dalam usahanya menyelamatkan pintu gol Kelantan daripada dibolosi. Penyerang, Shahurain Abu Samah yang mengambil sepakan tersebut mudah menewaskan Khairul Fahmi seterusnya menghasilkan gol pertama Negeri Sembilan.
Walaubagaimanapun, gol pendahuluan tersebut tidak mematahkan semangat pemain Kelantan. Pada m-29, Kelantan mempunyai peluang terbaik merapatkan jurang apabila Hairuddin Omar berjaya melepasi perangkap ofsaid namun penjaga gol, Mohd Sani Annuar Kamsani terlebih dahulu meluru keluar menyelamatkan bola.
Sebaliknya Negeri Sembilan lebih ghairah memburu jaringan apabila dilihat lebih banyak menjanakan corakan serangan melalui rangkaian penyerang muda, Shahurain Abu Samah dan Abdul Halim Zainal yang mendapat sokongan jentera tengah mereka.
Dua peluang terbaik Negeri Sembilan hadir pada m-30 dan 34 perlawanan menerusi percubaan jarak jauh Idris dan Kunalan yang menyaksikan ianya sekadar tersasar dan terus ke dakapan Khairul Fahmi.
Minit-minit akhir separuh masa pertama, Kelantan mempunyai tiga peluang terbaik merapatkan jurang menerusi percubaan Hairuddin, Indra Putra dan Mohd Norfarhan namun ketangkasan Mohd Sani Annuar menghampakan peluang tersebut.
Babak kedua, Kelantan seakan mendapat aura baru apabila menguasai hampir keseluruhan tempo permainan. Pada m-51, Hairuddin mempunyai peluang terbaik menjaringkan gol menerusi tandukan tetapi sempat ditampan keluar oleh pemain pertahanan Negeri Sembilan manakala rembatan susulan Muhd Badhri selepas itu sekadar melepasi palang.
Detik malang bagi Negeri Sembilan bermula enam minit kemudian. Bermula larian bola Norshahrul Idlan Talaha dari sebelah kanan pintu gol, beliau melakukan hantaran lintang kepada Hairuddin yang menanduk cantik ke penjuru sebelah kanan pintu gol menewaskan Mohd Sani Annuar.
Gol penyamaan tersebut ternyata membakar semangat juang pemain Kelantan sementara Negeri Sembilan terus tertekan selepas kehilangan bek kental mereka, Aidil Zafuan Abdul Radzak yang terpaksa diusung keluar selepas itu kerana mengalam kecederaan.
Pada m-62, Negeri Sembilan sekali lagi mencemaskan pintu gol Kelantan kali ini melalui menerusi percubaan Shahurain yang merembat kencang tetapi diselamatkan Khairul Fahmi.
Pada m-65, Stadium Nasional Bukit Jalil kembali bergema dengan sorakan 70,000 penyokong setia Kelantan apabila Muhd Badhri Radzi berjaya menjaringkan gol kemenangan Kelantan.
Kelalaian benteng pertahanan Negeri Sembilan sekali lagi terhukum apabila beliau yang menerima umpanan Mohd Norfarhan sebelum itu hanya memerlukan tiga langkah sahaja  sebelum melepaskan rembatan kencang dalam kotak penalti menewaskan Mohd Sani Annuar buat kali kedua.
Negeri Sembilan yang kian tertekan memasukkan penyerang muda, Mohd Shafik Abdul Rahman menggantikan Qhairil Anwar Roslani namun itu tidak cukup membantu mereka mencari gol penyamaan.
Dua percubaan terbaik mereka pada m-80 dan masa tambahan masing-masing menerusi Shahurain dan Idris menyaksikan Khairul Fahmi sekali lagi menjadi penghalang buat mereka dalam usaha mencari gol penyamaan.
Sementara itu, sepakan percuma Indra Putra pada m-85 sekadar tersasar ke sebelah kanan pintu gol Negeri Sembilan.
Tiupan wisel penamat pengadil, Subkhiddin Mohd Salleh mengakhiri penantian Kelantan selama 89 tahun menjulang Piala Malaysia dan piala paling berprestij itu akan kekal disimpan di bumi negeri Cik Siti Wan Kembang buat pertama kalinya.
Sementara itu, penjaring gol pertama Kelantan dalam perlawanan malam tadi, Hairuddin Omar diumumkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir itu.
KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaluddin (Akmal Rizal Ahmad Rakhli), Mohd Farisham  Ismail, Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid, Zairul Fitree Ishak, Muhd Badhri Radzi, Indra Putra Mahayuddin (KP), Mohd Shakir Shaari (Khairan Eroza Razali), Mohd Norfarhan Muhammad,  Hairuddin Omar dan Norshahrul Idlan Talaha (S Chanturu).
FORMASI : 4-4-2
NEGERI SEMBILAN : Mohd Sani Anuar Kamsani,  Mohd Alif Samsudin, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak (KP) (Mohd Firdaus Azizul), Mohd Shukor Adan, Tengku Qayyum Ubaidhillah Tengku Ahmad, Ching Hong Aik (Mohd Asyraf Mohd Al Japri), Qhairil Anwar Roslani (Mohd Shafik Abdul Rahman), S Kunalan, Idris Abdul Karim, Abdul Halim Zainal, dan Shahurain Abu Samah.
FORMASI : 4-4-2
STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Negeri Sembilan (9) Kelantan (4)
Percubaan tersasar : Negeri Sembilan (3) Kelantan (4)
Sepakan sudut : Negeri Sembilan (2) Kelantan (11)
Sepakan percuma : Negeri Sembilan (17)  Kelantan (18)
Offsaid : Negeri Sembilan (2) Kelantan (2)
Kekasaran : Negeri Sembilan (15) Kelantan (14)
Kad kuning : Negeri Sembilan (Mohd Shukor Adan, Mohd Firdaus Azizul, Mohd Alif Samsudin) Kelantan (Mohd Shakir Shaari)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Tujuh minit
Penguasaan bola : Negeri Sembilan (45%) Kelantan (55%)
PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Subkhiddin Mohd Salleh
Penolong Pengadil 1: Wan Ismail Wan Ali
Penolong Pengadil 2: Nojey Anak Nakeng
Pegawai Keempat : Mohd Nafeez Abd Wahab
Komisionel Perlawanan : Ismail Yacob
Penilai Pengadil : Ahmad Khalidi Suppian
General Kordinator : Ahmad Fuad Daud
Pegawai Media : Raja Azura Shamim