SELANGOR 0-0 KELANTAN


SELANGOR dan Kelantan sama handal apabila kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di hadapan 50,000 penonton di Stadium Shah Alam malam tadi.
Babak pertama bermula agak hambar apabila kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan yang terlalu berhati-hati selain ketumpulan jentera serangan.
Namun, Kelantan terlebih dahulu menguji gawang Selangor pada minit ke-18 tetapi percubaan Nor Farhan Muhammad dari luar kotak penalti berjaya ditepis keluar penjaga gol tuan rumah, Hamsani Ahmad.
Seminit kemudian Selangor pula memiliki peluang terbaik menerusi lorongan daripada kapten, Amri Yahyah kepada Safee Sali tetapi gagal disudahkan dengan baik oleh penyerang kebangsaan itu.
Pada minit ke-33, giliran penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha pula menguji Hamsani tetapi rembatannya diselamatkan dengan baik oleh penjaga gol Selangor itu.
Serangan balas Selangor pada minit ke-40 hampir membuahkan hasil tetapi percubaan Amirulhadi Zainal tersasar.
Suasana bertambah panas pada minit ke-44 apabila kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Nor shahrul dan pemain pertahanan Selangor, P. Gunalan dilayangkan kad merah kerana bergaduh.
Pada ketika itu jugalah suasana di luar padang turut panas apabila penyokong Selangor dan Kelantan membaling mercun dan pelbagai objek ke arah lawan masing-masing.
Babak kedua bersambung, jurulatih Selangor mengeluarkan pemain sayap kiri, Farderin Kadir dan memasukkan Asrarud- din Putra Omar bagi mengisi kekosongan di posisi pertahanan kiri.
Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan pula masih mengekalkan pemain yang sama dengan Akmal Rizal Rakhli diletakkan sebagai penyerang tunggal selepas ketiadaan Norshahrul.
Tandukan Akmal pada awal babak kedua terkena tiang manakala rembatan kencangnya dari luar kotak penalti pada minit ke-52 berjaya ditepis keluar Hamsani.
Asraruddin pula melakukan rembatan kaki kiri cukup deras dari luar kotak penalti selepas sepakan sudut pada minit ke-59 tetapi ditepis baik Khairul Fahmi Che Mat.
Penjaga gol Kelantan itu sekali lagi bertindak cemerlang apabila menyelamatkan rembatan bahaya Amirulhadi dari dalam kotak penalti pada minit ke-72.
Baki 13 minit terakhir, Devan memasukkan Rudie Ramli menggantikan Safee manakala Sathianathan memasukkan Hairuddin Omar menggantikan Akmal tetapi tiada jaringan berjaya dihasilkan. Sumber: kelate.net