Recent Posts Widget

SAMA KEBAL


ALOR SETAR – Naib juara Piala Malaysia musim lalu,  Kelantan  mencerahkan peluang untuk mara ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut setelah berjaya mengikat keputusan seri tanpa jaringan dengan pasukan tuan rumah, Kedah dalam perlawanan separuh akhir pertama TM Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.
Begitu pun, Kelantan perlu menunggu selama 90 minit lagi dalam perhitungan kedua di Kota Bharu pada Sabtu ini bagi mengesahkan secara rasmi bagi membolehkan layak beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia dalam tempoh dua tahun berturut-turut.
Turun dengan semangat melawan sebagaimana membenamkan juara Liga Super, Selangor dalam saingan suku akhir minggu lalu, pemain Kelantan beraksi dalam keadaan tertekan sepanjang 20 minit pertama perlawanan apabila tiga pemain utama mengalami kecederaan memaksa B Sathianathan melakukan perubahan taktikal.
Sebaliknya, barisan pemain Kedah gagal memanfaatkan peluang beraksi dihalaman sendiri dengan sokongan padu hampir 30,000 penyokong setia Hijau Kuning apabila tidak berupaya menjaringkan gol pada perlawanan malam tadi.
Seawal minit pertama, Kedah mula mengancam pintu gol Kelantan apabila Mohamad Faizal Abu Bakar berjaya melakukan hantaran lintang merbahaya namun dikeluarkan benteng pertahanan Kelantan.
Seminit kemudian, giliran pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar pula menguji penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat namun rembatan lemahnya sekadar melintasi pintu gol Kelantan.
Pada m-10, bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mendapat sentuhan pertamanya dengan menguji pintu gol tuan rumah namun rembatannya meliar setelah menerima umpanan daripada Ketua Pasukan, Indra Putra Mahayuddin.
Sementara sepakan percuma pemain tengah Kedah, Baddrol seminit selepas itu terus ke dakapan Khairul Fahmi menyaksikan pintu gol Kelantan terselamat daripada dibolosi.
Pada m-43, Mohamad Faizal sekali lagi melakukan percubaan namun percubaannya jauh tersasar manakala percubaan pemain tengah Kelantan, Muhd Badhri Radzi menerusi sepakan lambungnya minit-minit akhir perlawanan separuh masa pertama sedikit melepasi palang biarpun penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Elias berada diluar kedudukannya.
Babak kedua, Kedah merancakkan kembali permainan apabila menguasai perlawanan menerusi rangkaian penyerang Mohd Khyril Muhymeen Zamri dan Mohamad Faizal.
Namun, Kelantan pula menemui rentak perlawanan selepas itu apabila Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid mensia-sia peluang terbuka dengan menanduk liar sepakan sudut yang diambil Mohd Norfarhan Muhammad pada m-55.
Kelantan sekali lagi kempunan untuk mendapatkan gol pertama apabila kuisan Muhd Badhri pada m-61 hanya beberapa inci melepasi palang pintu gol pasukan tuan rumah. Sementara Indra Putra turut terlepas peluang untuk menjaringkan gol pada m-65 apabila tandukannya sedikit  tersasar sebelah kiri pintu gol Kedah.
Indra Putra sekali meniti detik kehampaan untuk menjaringkan gol apabila tampanannya pada m-70 hasil hantaran silang Mohd Norfarhan diselamatkan dua kali oleh Mohd Helmi Eliza.
Sementara Kedah turut memperolehi peluang menjaringkan gol pada m-75 kali ini menerusi rembatan jarak jauh Fiqri Md Isa tetapi terus ke dakapan Khairul Fahmi.
Biarpun dilihat menguasai perlawanan sehingga wisel penamat, namun barisan pemain Kelantan gagal menterjemahkan dalam bentuk jaringan memaksa kedua-dua pasukan sekadar berpuas hati seri tanpa jaringan sambil perhitungan 90 minit di Kota Bharu pada Sabtu ini bakal menentukan pasukan mana yang bakal layak ke pentas perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini.