KOTA BHARU – Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu akan berubah wajah pada tahun hadapan apabila dilengkapi dengan papan keputusan elektronik yang baru menggantikan papan keputusan sedia ada sekarang.
Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, dianggarkan lebih RM1 juta diperlukan bagi memasang papan keputusan elektronik di stadium itu bagi menggantikan papan keputusan lama yang usang dan jauh ketinggalan zaman.
“Peruntukan lebih RM1 juta itu diluluskan oleh Kerajaan Pusat melalui Kerajaan Negeri. Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menguruskan soal tender dalam masa terdekat.
“Kerja-kerja pemasangan papan keputusan elektronik baru itu dijangka akan dimulakan pada Disember ini. Kita berharap ianya dapat digunakan bermula liga musim depan,” katanya ketika sidang akhbar, semalam.
Annuar berkata, Kafa turut mempunyai cadangan penambahbaikan antaranya berharap Kerajaan Negeri dapat mengkaji kemungkinan membina satu teres bertingkat di bahagian tempat duduk astaka dan tempat duduk terbuka berhadapan astaka.
“Tidak perlu peruntukkan yang besar bagi tujuan itu. Tidak perlu berpuluh-puluh juta, memadai sekitar lima hingga enam juta sahaja. Jumlah kerusi boleh ditambah sekitar RM10,000, saya fikir itu tidak ada apa-apa masalah.
“Saya yakin Kerajaan Negeri ada kemampuan untuk melaksanakannya. Harap Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan kerana Kerajaan Pusat tidak boleh buat sebab stadium ini adalah milik Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) di bawah Kerajaan Negeri,” katanya.
Menurutnya, Kafa sedia menilai satu opsyen untuk dikemukakan kepada kerajaan negeri berkaitan pengambilalihan pengurusan stadium tersebut.
“Oleh kerana sekarang kita membayar kepada kerajaan negeri mungkin sudah melebihi setengah juta, Kafa ingin membuat tawaran untuk menguruskan Stadium Sultan Muhammed Ke-IV pada musim akan datang.
“Sekiranya Kerajaan Negeri tidak ada keupayaan melakukan penambahbaikan, maka Kafa bersedia mengambil satu opsyen untuk menguruskan stadium termasuk menambah kapasiti tempat duduk, termasuk mengadakan kemudahan-kemudahan yang wajib seperti bilik persalinan, lampu limpah berdasarkan peraturan FAM untuk pasukan yang bertanding musim depan.
“Kemudahan di stadium kita masih banyak tidak memenuhi kriteria ditetapkan dan kita berharap ianya selesai menjelang Disember ini. Untuk itu, kita menawarkan opsyen kepada Kerajaan Negeri melakukan penambahbaikan dengan kita terus kekal membayar levi kepada mereka dan alternatif kedua, Kafa menguruskan stadium dengan melakukan penambahbaikan sendiri,” katanya