Recent Posts Widget

GERGASI Merah rebah di kaki Kijang. Itu yang berlaku pada saingan suku akhir kedua Piala Malaysia antara Selangor dengan Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi.
Pada perlawanan tersebut, Selangor ditunjuk jalan keluar oleh Kelantan yang menang bergaya 3-0.
Pada perlawanan yang disaksikan lebih 25,000 penyokong The Red Warriors itu, Selangor dilihat bermula garang dengan menguji penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menerusi Amri Yahyah yang berjaya meloloskan diri ke dalam kotak penalti, namun sepakannya tidak cukup kencang untuk menggegar jaring lawan.
Seminit kemudian, giliran penyerang Kelantan, Akmal Rizal Rakhli melakukan rembatan ke gawang Selangor tetapi sepakannya sedikit tersasar.
Kelantan terus menggandakan asakan untuk mendapat gol awal dan ia terhasil pada minit ke-13 menerusi Norfarhan Mohamad yang mudah menyempurnakan lorongan daripada Akmal Rizal.
Kelantan yang mempamerkan aksi meyakinkan sepanjang perlawanan itu terus ghairah memburu gol dan Selangor pula dilihat hilang punca dengan pemainnya sering melakukan kesilapan mudah.
Pada minit ke-24, Kelantan selesa mendahului 2-0 menerusi jaringan Akmal Rizal.
Gol tersebut terus mematikan rentak Selangor yang semakin hilang arah sambil Kelantan gagah menguasai bahagian tengah yang diterajui Badri Radzi dan Shakir Shaari.
Pada babak kedua, Kelantan memperlahankan rentak permainan, namun Selangor tetap gagal untuk meloloskan diri.
Malam bergaya Kelantan itu disudahkan dengan jaringan ketiga Badri Radzi pada minit ke-79 yang bijak menyambar hantaran Akmal Rizal sebelum merembat kencang ke gawang lawan.
Kemenangan itu menyaksikan Kelantan pasukan pertama layak
ke pusingan separuh akhir dengan agregat 3-0.
Pada aksi pertama di Shah Alam Selasa lalu, kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan.

STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kelantan (4) Selangor (6)
Percubaan tersasar : Kelantan (2) Selangor (4)
Sepakan sudut : Kelantan (3) Selangor (5)
Sepakan percuma : Kelantan (6) Selangor (16)
Offsaid : Kelantan (3) Selangor (0)
Kekasaran : Kelantan (13) Selangor (5)
Kad kuning : Selangor (Mohd Amri Yahyah)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Lima minit
Penguasaan bola : Kelantan (55%) Selangor (45%)
PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : R Krishnan
Penolong Pengadil 1: Rosli Saaban
Penolong Pengadil 2: Mohd Yusri Mohamad
Pegawai Keempat : Ku Alauddin Ku Mohamad
General Kordinator : Arif Hassan
Komissioner Perlawanan : Osman Omar