KHAIRUL MAHU BUKTI TERBAIK


KOTA BHARU – Sebelum ini nama Khairul Fahmi Che Mat atau lebih mesra dengan panggilan ‘Apek’ tidak langsung tersenarai sebagai pemain yang diminati oleh penyokong setia The Red Warriors.
Rata-rata mereka lebih mengenali nama Syed Adney Syed Hussin dan pemain veteran, Halim Napi diberi tugas mengawasi gawang Kelantan berbanding Khairul yang dilihat masih mentah dengan pengalaman.
Memiliki susuk tubuh yang kecil dengan ketinggian sederhana, ramai yang tidak mengetahui bahawa anak muda berusia 21 tahun dari Kampung Cherang di sini, pernah merantau untuk menimba pengalaman dengan beberapa pasukan lain seperti PKNS (2007) dan Harimau Muda (2008).
Bakatnya mula terserlah selepas dipilih sebagai penjaga gol utama skuad negara ketika menyertai Kejohanan Juara Kelab Belia yang berlangsung di Sarawak pada 2007.
Selepas merantau menimba ilmu pada 2008, Khairul Fahmi akhirnya pulang kepangkuan pasukan negeri kelahirannya, Kelantan ketika The Red Warriorsmenghadapi saingan Piala Malaysia tetapi langkah ‘Sang Kijang’ tidak panjang ketika itu.
Musim 2009 menyaksikan Khairul Fahmi hanya diletakkan sebagai penjaga gol ketiga di belakang Shahrizan Ismail dan Halim Napi, malah dia kerap diturunkan mewakili pasukan Piala Presiden.
Melihat persaingan yang cukup sengit untuk merebut posisi tersebut daripada dua pemain senior termasuk Halim yang sudah dianggap legenda, Khairul Fahmi pernah terfikir untuk meninggalkan Kelantan mencari pasukan baru.
Menurut Khairul, atas nasihat rakan-rakan dan mereka yang berpengalaman, hasrat itu terpaksa dikuburkan.
Pada masa yang sama dia tidak pernah jemu memperbaiki persembahan untuk ‘memikat’ ketua jurulatih B. Sathianathan bagi posisi utama.
Dalam pertemuannya dengan Utusan Malaysia di sini, semalam anak muda yang tidak kenal erti putus asa ini berjanji mempamer persembahan terbaik.
“Musim ini saya diletakkan sebagai penjaga gol kedua di belakang Syed Adney selepas Shahrizan digugurkan. Aksi pertama saya bersama pasukan ketika Kelantan bertemu T-Team di Kuala Terengganu pada 6 Mac lalu.
“Saya diturunkan kerana Syed Adney mengalami sedikit kecederaan dan tidak dapat beraksi. Walaupun tugas penjaga gol sangat berat kerana penyokong sentiasa mahukan kemenangan, namun itu bukan alasan saya menarik diri” jelasnya.

Hadiah untuk Sultan Kelantan

HADIAH untuk Sultan Muhammad Ke-V. Itulah yang diluahkan oleh ketua jurulatih Kelantan, B.Sathianthan yang mahu semua pemainnya beraksi cemerlang merampas Piala Malaysia daripada Negeri Sembilan untuk dihadiahkan kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V yang baru ditabalkan.
Menurutnya, peluang beraksi pada final kali ini perlu digunakan sebaik mungkin untuk memastikan mereka muncul juara dan membawa pulang piala paling berprestij ke Kota Bharu.
"Seluruh rakyat Kelantan gembira apabila menerima Sultan baru dan saya rasa kegembiraan tersebut mungkin lebih bermakna jika pasukan mereka mampu membawa pulang Piala Malaysia ke Kota Bharu.
"Saya dan semua pemain berjanji akan memberikan yang terbaik supaya impian tersebut akan menjadi kenyataan dan kejayaan itu kita akan hadiahkan kepada Tuanku Sultan yang memayungi seluruh rakyat Kelantan," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, segala persiapan berjalan dengan lancar dan semua barisan pemain sudah pun bersedia untuk turun beraksi pada perlawanan akhir itu nanti.
Jelasnya, semua pemainnya kini bebas daripada masalah penggantungan dan kecederaan kecuali tiga pemain iaitu Azizi Mat Rose dan S. Subramaniam untuk posisi pertahananan yang hampir pasti tidak dapat diturunkan.
"Kita sedang memantau perkembangan Akmal (Rizal Rakhli) yang masih belum pulih dan cergas sepenuhnya daripada kecederaan. Saya harap beliau akan pulih dalam masa terdekat ini dan dapat diturunkan pada final kelak.
"Jika ketiga-tiga mereka tidak dapat diturunkan sekali pun, ia tidak merencatkan persiapan pasukan kerana saya masih ada pemain lain yang standard mereka tetap sama dan mampu beraksi baik," ujarnya.
Katanya, beliau mengharapkan para pemainnya fokus ketika aksi di padang, berdisiplin selain sentiasa yakin pada diri sendiri bagi memastikan mereka tidak mudah patah semangat.
"Untuk perlawanan Sabtu ini, saya harap pemain yang akan diturunkan memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang perlawanan, jangan gugup dan sentiasa ingat bahawa kita adalah pasukan yang hebat, jadi kena beraksi sebagai pasukan yang hebat.
"Jangan jadi macam tahun lepas, selepas kena satu jaringan kita hilang fokus dan tidak bermain dengan baik. Pengalaman lalu harus dijadikan pengajaran berguna buat kita untuk perlawanan Sabtu ini," jelasnya.

PENYOKONG KECOH HARGA TIKET NAIK


MAHAL, zalim dan cekik darah. Itu antara rungutan peminat setia pasukan The Red Warriors yang menyelar tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menaikkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Tahun lepas, kedua-dua pasukan juga pernah bertembung di pentas akhir merebut piala berprestij tanah air itu yang mana kehadiran penyokong mencatat sejarah paling ramai pernah dihimpunkan dalam satu perlawanan bola sepak tempatan.
Ketika itu tiket dijual dengan harga RM20 dan secara tiba-tiba, musim ini FAM menaikkan harga tiket kepada RM30 sehingga menimbulkan kemarahan seluruh peminat bola sepak Kelantan yang merasakan harga tersebut adalah terlalu tinggi.
Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Nik Mohd. Sallehuddin Nik Abdul Razak berkata, tindakan tersebut dilihat satu lagi usaha FAM untuk menjatuhkan masa depan bola sepak Kelantan.
Menurutnya, selepas pelbagai usaha dilakukan termasuk yang terbaru menggantung khidmat jurulatih B. Sathianathan sebelum kes tersebut ditangguhkan untuk perbicaraan semula, isu tiket kembali menjadikan FAM mangsa kecaman.
“Saya tidak melihat di mana relevannya harga tiket tersebut perlu dinaikkan. FAM perlu memberi penjelasan kenapa harga tiket ini naik berbanding tahun lalu yang dijual pada harga RM20.
“Pada pendapat saya, harga ini dinaikkan selepas melihat penyokong Kelantan yang begitu ramai membanjiri stadium pada perlawanan akhir musim lalu dan ini adalah masa yang baik untuk FAM mengaut keuntungan,” katanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, pertimbangan- pertimbangan yang sewajarnya perlu diambil kira oleh FAM termasuklah peminat bola sepak Kelantan bukannya terdiri daripada golongan yang berada tetapi mereka yang berpendapatan rendah, namun cintakan bola sepak tempatan.
Jelasnya, sekiranya FAM menggunakan helah menaikkan harga untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda kerana menyangka peminat bola sepak Kelantan pasti akan ke stadium walaupun dengan tiket yang mahal, tidak mustahil sambutan perlawanan akhir kali ini akan dingin.
“Penyokong tidak bodoh. Kami bukan orang berada. Ada yang bekerja sebagai buruh dan petani hanya memperoleh gaji sekitar RM150 seminggu dan ini pastinya membebankan dan tidak mustahil sekiranya mereka membatalkan hasrat untuk ke stadium.
“Sepatutnya FAM memberi sokongan dalam usaha memajukan bola sepak tempatan selepas melihat sambutan peminat yang semakin ramai mengunjungi stadium tetapi tindakan ini sekali lagi dilihat sebagai cubaan ‘membunuh’ masa depan bola sepak khasnya di Kelantan,” ujarnya.
Selain itu, mereka juga turut kecewa dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang seperti ‘menangguk di air keruh’ apabila menaikkan lagi harga tiket daripada RM30 kepada RM40 dengan kononnya menyediakan pakej termasuk barangan cenderahati.
Bagi mereka, selepas sekian lama menunjukkan sokongan tanpa berbelah bagi kepada pasukan Kelantan termasuk menjelajah ke seluruh negara setiap kali pasu- kan mereka beraksi, tindakan KAFA itu membuatkan mereka terkilan.
Semalam, lebih 100 penyokong skuad Kelantan mengadakan piket membantah kenaikan harga tiket oleh FAM di hadapan Stadium Sultan Muhammed IV dan turut menggesa KAFA membatalkan hasrat menjual tiket tersebut secara pakej dengan harga yang lebih mahal.
Seorang lagi peminat bola sepak Kelantan, Mahizi Mahmood, 32, memberitahu, selain marah dengan tindakan FAM menaikkan harga tiket, dia juga nyata kesal dengan sikap KAFA yang dilihat tidak prihatin dengan nasib para penyokong.
“Sudahlah FAM mengenakan tiket dengan harga yang tinggi, KAFA pula turut sama bersekongkol menaikkan lagi harga sebanyak RM10 kononnya atas nama pakej dengan memberi barangan cenderahati.
“Kalaulah KAFA tahu mengenang budi, mereka seharusnya membantu memberi subsidi atau sekurang-kurangnya mengekalkan harga tiket RM30 itu, bukannya dengan menekan lagi penyokong dengan menaikkan kepada RM40,” jelasnya.
Selain itu, bagaikan ada kewajaran di sebalik kemarahan para penyokong kerana jarak antara Kota Bharu dan Kuala Lumpur itu cukup panjang perjalanannya menjadikan mereka juga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk kos pengangkutan.
Bukan sahaja tiket, dikhabarkan kos pengangkutan awam termasuk kadar sewa bas juga melambung dengan begitu mendadak iaitu antara RM3,200 hingga RM3,800 berbanding harga biasa hanya sekitar RM2,400 hingga RM2,600.
Sementara itu, Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa tampil memberi penjelasan yang dilihat sedikit melegakan kemarahan penyokong Kelantan apabila pihaknya bersetuju mengekalkan harga tiket kepada RM30.
Jelasnya, sebanyak 30,000 keping tiket diperuntukkan untuk penyokong Kelantan iaitu dengan 10,000 akan mula dijual secara biasa pada pukul 10 pagi ini di kesemua lapan kaunter jualan tiket di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.
“Manakala 10,000 keping lagi akan dijual bersama barangan cenderamata, sementara selebihnya akan diperuntukkan kepada rombongan kelab penyokong. KAFA sedang berusaha untuk mendapat tiket tambahan untuk memenuhi permintaan,” ujarnya.

FAM Akur, Sathia ‘Dibebas’

KETUA jurulatih Kelantan, B Sathianathan menyifatkan hukuman penggantungan enam bulan serta denda RM2,000 dikenakan ke atasnya itu bukan penyebab untuk meminta simpati.
Jauh sekali bagi menghalangnya terus menabur bakti kerana hanya dengan kemenangan pada final Piala Malaysia Sabtu ini dapat menutup mulut pengkritik.

“Saya lega akhirnya hukuman itu ditangguhkan dan sekarang adalah masa untuk saya dan penolong jurulatih, Hashim Mustapha menyusun strategi terbaik bagi mencapai apa yang dicita-citakan oleh seluruh rakyat Kelantan,” katanya.

HARGA TIKET NAIK RM10

KUALA LUMPUR – Sesuai dengan prestijnya sebagai pentas akhir, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan menaikkan harga tiket bagi perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Kelantan dan Negeri Sembilan Sabtu ini, kepada RM30.
Harga tersebut adalah bagi tempat duduk biasa, manakala RM50 ditetapkan bagi tempat dudukgrand stand.
Harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu adalah RM20.
Naib Presiden FAM, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Pertandingan Tempatan, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, keputusan menaikkan harga RM10 bagi tiket perlawanan akhir itu telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pintu dan Tiket.
”Sesuai dengan prestij Piala Malaysia yang merupakan piala keagungan negara, maka Jawatankuasa Pintu dan Tiket berpendapat amat wajar harga tiket perlawanan akhir dijual pada harga RM30.
”Bagi kanak-kanak bawah 12 tahun, harga tiket yang ditawarkan serendah RM5 sementara tempat duduk grand stand adalah RM50, ” katanya dalam sidang media perlawanan akhir Piala Malaysia 2010 di Stadium Bukit Jalil, semalam.
Hadir sama pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim dan penolong pengurus Negeri Sembilan, Faizal Zainal.
Bagi meningkatkan langkah keselamatan, Hamidin menegaskan, pada perlawanan Sabtu ini, setiap penonton, termasuk wanita akan menjalani pemeriksaan badan, sebagai langkah membendung percubaan membawa masuk mercun dan objek terlarang ke dalam stadium.
”Pasukan keselamatan akan melakukan kawalan rapi di luar dan dalam stadium. Kali ini juga anggota keselamatan akan memeriksa badan penonton wanita, kerana ada maklumat mercun pernah dibawa masuk ke stadium melalui penonton wanita .
”Atas faktor keselamatan, makanan dan minuman juga akan tidak lagi dibenarkan dijual di dalam stadium, ” katanya.
Menyentuh pembahagian jualan tiket, sebanyak 30,000 tiket akan diberikan kepada Kelantan dan Negeri Sembilan, yang boleh didapati dalam tempoh terdekat.
”Tiket-tiket akan dijual tidak lama lagi sehingga Jumaat, yang akan diagihkan oleh persatuan bola sepak negeri masing-masing.
”Jika terdapat lebihan sehingga hari Jumaat ini, Jawatankuasa Pengelola akan menjual tiket itu di Stadium Nasional Bukit Jalil seawal 9 pagi Sabtu ini. Saya anggarkan sebanyak 70,000 ke 80,000 tiket akan dijual.
”Para penonton boleh masuk ke stadium mulai pukul 4 petang. Penyokong Kelantan akan duduk di bahagian tuan rumah sementara Negeri Sembilan di bahagian penyokong pelawat, ” katanya.
Hamidin turut berasa puas hati dengan kualiti padang perlawanan akhir itu yang disifatkannya 92 peratus boleh digunakan.

LEBIH 50,000 KE BUKIT JALIL

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelant:an (Kafa) Tan Sri Annuar Musa mensasarkan kehadiran kira-kira 50,000 penyokong The Red Warriors ke stadium Nasional Bukit Jalil, menyaksikan perlawanan akhir Piala malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan pada 30 Oktober ini.

“Kita sasarkan 50,000 penyokong Kelantan hadir menyaksikan perlawanan itu.

“Saya harap penyokong Kelantan dapat masuk ke dalam stadium lebih awal bagi mengelak kesesakan kerana pemeriksaan ketat akan diadakan di semua pintu masuk di stadium itu,” katanya.

Selain itu Annuar berkata Kafa juga turut membuat tempahan khas menaiki kereta api buat penyokong Kelantan untuk ke pergi dan pulang menyaksikan perlawanan itu.

“Selepas beberapa jam perlawanan itu tamat, semua penumpang dikehendaki berada di tempat yang dijanjikan untuk bertolak pulang dengan kereta api yang sama,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga meminta semua penyokong Kelantan agar tidak menimbulkan sebarang masalah ketika menyaksikan perlawanan akhir itu nanti sebaliknya menyaksikannya dengan penuh semangat kesukanan.    

Gol Kemenangan Kelantan Ke FINAL Piala Malaysia 2010

KELANTAN DAN NS KE FINAL


KELANTAN 1
(Norshahrul Idlan Talaha m-78)
KEDAH 0
(Kelantan mara dengan agregat 1-0)

JOHOR FC 0

NEGERI SEMBILAN 2
(Shukor Adan m-38, Shahurain Abu Samah m-62)
(Negeri Sembilan mara dengan agregat 2-1)



FINAL Piala Malaysia edisi 2010 mempertemukan semula Negeri Sembilan dan Kelantan apabila masing-masing melepasi halangan separuh akhir malam tadi.

Di depan penyokong sendiri yang memenuhi Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan mara ke final buat tahun kedua berturut-turut hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha yang melencongkan bola terus dari sepakan penjuru untuk memastikan pasukannya mara secara agregat 1-0, menewaskan Kedah.

Di Pasir Gudang pula, bermain di gelanggang lawan tidak menghalang juara bertahan Negeri Sembilan daripada mencatat kemenangan selesa 2-0 ke atas Johor FC untuk mara 2-1 secara agregat.

Shukor Adan menanduk gol pertama pada minit ke-38 sebelum Shahurain Abu Samah menyempurnakan penalti pada minit ke-62 untuk menjamin tempat anak buah Wan Jamak Hassan ke final di Stadium Nasional, Sabtu ini.

The Red Warriors: KELANTAN. NS PILIHAN KE BUKIT JALIL

The Red Warriors: KELANTAN. NS PILIHAN KE BUKIT JALIL: "Pilihan ShebbieOleh Lokman Zainal Abidin

KELANTAN. NS PILIHAN KE BUKIT JALIL

Pilihan Shebbie

Oleh Lokman Zainal Abidin
KELEBIHAN sudah pasti milik skuad tuan rumah tetapi pengulas serta pengkritik sukan, Serbegeth Singh masih enggan menyebut Johor FC sebagai salah satu pasukan yang bakal beraksi di perlawanan akhir Piala Malaysia sebaliknya beliau lebih senang mengandaikan saingan merebut piala paling berprestij itu adalah di antara Negeri Sembilan dan Kelantan.
Johor FC menang 1-0 hasil jaringan Mohd Ezaidy Khadar di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada perlawanan separuh akhir pertama malam kelmarin manakala Kelantan yang bertandang ke Stadium Darulaman, Alor Star pula berjaya mengikat tuan rumah dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Sekali imbas, pertemuan kedua di Stadium JCorp, Pasir Gudang malam esok sudah pasti menjadi milik Johor FC dan Kelantan pula sudah terlalu kerap membuktikan gelanggang Stadium Sultan Mohamed Ke-IV begitu keramat dan skuad Red Warrior itu dilihat terlalu kebal setiap kali aksi di tempat sendiri.

Atas dasar itulah, Johor FC dan Kelantan dianggap bakal mengisi slot ke perlawanan akhir musim ini dan bukan sedikit yang mengakui fakta itu. Selain kelebihan selaku tuan rumah, Johor FC turut mempunyai satu alasan paling kuat ke perlawanan akhir - mahu menjadi pasukan bertaraf kelab kedua yang layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas Selangor MPPJ pada 2003.


Bagaimanapun, Serbegeth Singh lebih dikenali sebagai Shebbie itu memilih Negeri Sembilan dan Kelantan sebagai dua pasukan yang bakal mencorak aksi perlawanan akhir dan beliau menjadikan soal pengalaman sebagai jurang pemisah paling ketara di antara Negeri Sembilan dengan Johor FC.

“Kita lupakan dulu soal Kelantan. Bagi saya, adalah satu malapetaka besar andai Kelantan gagal ke perlawanan akhir kerana mereka memang memiliki kelebihan pada perlawanan kedua nanti. Kelantan sudah membuktikan mereka memang hebat di tempat sendiri dan lihat saja keupayaan mereka ketika menundukkan Selangor pada suku akhir lalu.

“Apa yang lebih menarik diperkatakan sekarang ialah mengenai pertemuan Johor FC dan Negeri Sembilan kerana bagi saya, menang di Seremban bukanlah tiket untuk Johor FC mendapat laluan mudah walaupun beraksi di tempat sendiri pada perlawanan kedua hari Sabtu nanti,” katanya.

Faktor dijadikan alasan utama Shebbie memilih Negeri Sembilan melangkah ke perlawanan akhir ialah pengalaman dan puluhan peluang yang dicipta skuad Rusa itu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam kelmarin sudah cukup menceritakan betapa kesungguhan dimiliki barisan anak buah jurulatih Wan Jamak Wan Hassan itu.

“Bagi saya, peluang Johor FC dan Negeri Sembilan untuk ke perlawanan akhir adalah 50-50. Johor FC hanya mempunyai kelebihan di atas kertas tetapi berdasarkan banyak faktor terutamanya pengalaman, saya rasa Negeri Sembilan lebih layak untuk ke perlawanan akhir. Bukan saya mahu memandang rendah keupayaan Johor FC tetapi ia berdasarkan fakta.

Kelantan yakin mampu ke final
Oleh Adnan Mohamad
bhsukan@bharian.com.my
2010/10/22

KEJAYAAN mengikat Kedah di Stadium Darulaman malam kelmarin, meningkatkan keyakinan The Red Warriors untuk mengharungi perlawanan separuh akhir kedua di Kota Bharu, malam esok, meskipun sedar Sang Kenari akan bermati-matian mencari jaringan.

Kelantan yang sebelum ini menumbangkan Gergasi Merah Selangor di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, kini berkira-kira mengulangi episod sama, sekali gus merealisasikan impian mengecap final Piala Malaysia buat tahun kedua berturut-turut, seterusnya menjulang Piala Malaysia buat kali pertama.
Skuad bimbingan B Sathianathan kini dilihat hanya perlu meneruskan rentak biasa walaupun mungkin terpaksa melakukan sedikit perubahan taktikal berikutan kecederaan tiga pemain utama iaitu Azizi Mat Rose, Shakir Shaari dan S Subramaniam yang terpaksa dikeluarkan pada 15 minit pertama ketika separuh akhir pertama kelmarin, selain Akmal Rizal Rakhli.
Tetapi Sathinathan mungkin boleh tersenyum kerana penyerang berbisanya, Nor Shahrul Idlan Talaha dibenarkan beraksi semula selepas penggantungan.

Sathianathan memberitahu, dia tidak terkejut dengan persembahan bersungguh-sungguh pemain gantian kerana sering mengingatkan anak buahnya untuk memberikan 100 peratus komitmen dalam setiap perlawanan.

“Dalam perlawanan itu, pemain dapat bermain dengan baik walaupun beberapa bahagian terpaksa dirombak selepas dilanda kecederaan. Malah, Kelantan lebih banyak menguasai rentak dan mencipta peluang tetapi gagal menjaringkan gol,” katanya.

Menjelang 90 minit lagi aksi pada timbal balik kedua esok, Sathia terus menasihatkan anak buahnya supaya berwaspada dengan Kedah yang pasti lebih garang selepas gagal memanfaat kelebihan di gelanggang sendiri.
“Kita sedia maklum, Kedah pernah mengalahkan Kelantan di Kota Bharu dalam saingan Liga Super, malah menidakkan peluang The Red Warriors pada suku akhir Piala FA tahun ini, jadi Kedah perlu dihormati,” katanya.

“Kejayaan mengikat Kedah di Stadium Darulaman memang satu pencapaian membanggakan tetapi kita kena ingat, masih ada 90 minit lagi untuk mencapai impian ke final dan hajat itu boleh tersekat jika Kedah mendapat gol awal.”

SAMA KEBAL


ALOR SETAR – Naib juara Piala Malaysia musim lalu,  Kelantan  mencerahkan peluang untuk mara ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut setelah berjaya mengikat keputusan seri tanpa jaringan dengan pasukan tuan rumah, Kedah dalam perlawanan separuh akhir pertama TM Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.
Begitu pun, Kelantan perlu menunggu selama 90 minit lagi dalam perhitungan kedua di Kota Bharu pada Sabtu ini bagi mengesahkan secara rasmi bagi membolehkan layak beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia dalam tempoh dua tahun berturut-turut.
Turun dengan semangat melawan sebagaimana membenamkan juara Liga Super, Selangor dalam saingan suku akhir minggu lalu, pemain Kelantan beraksi dalam keadaan tertekan sepanjang 20 minit pertama perlawanan apabila tiga pemain utama mengalami kecederaan memaksa B Sathianathan melakukan perubahan taktikal.
Sebaliknya, barisan pemain Kedah gagal memanfaatkan peluang beraksi dihalaman sendiri dengan sokongan padu hampir 30,000 penyokong setia Hijau Kuning apabila tidak berupaya menjaringkan gol pada perlawanan malam tadi.
Seawal minit pertama, Kedah mula mengancam pintu gol Kelantan apabila Mohamad Faizal Abu Bakar berjaya melakukan hantaran lintang merbahaya namun dikeluarkan benteng pertahanan Kelantan.
Seminit kemudian, giliran pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar pula menguji penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat namun rembatan lemahnya sekadar melintasi pintu gol Kelantan.
Pada m-10, bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mendapat sentuhan pertamanya dengan menguji pintu gol tuan rumah namun rembatannya meliar setelah menerima umpanan daripada Ketua Pasukan, Indra Putra Mahayuddin.
Sementara sepakan percuma pemain tengah Kedah, Baddrol seminit selepas itu terus ke dakapan Khairul Fahmi menyaksikan pintu gol Kelantan terselamat daripada dibolosi.
Pada m-43, Mohamad Faizal sekali lagi melakukan percubaan namun percubaannya jauh tersasar manakala percubaan pemain tengah Kelantan, Muhd Badhri Radzi menerusi sepakan lambungnya minit-minit akhir perlawanan separuh masa pertama sedikit melepasi palang biarpun penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Elias berada diluar kedudukannya.
Babak kedua, Kedah merancakkan kembali permainan apabila menguasai perlawanan menerusi rangkaian penyerang Mohd Khyril Muhymeen Zamri dan Mohamad Faizal.
Namun, Kelantan pula menemui rentak perlawanan selepas itu apabila Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid mensia-sia peluang terbuka dengan menanduk liar sepakan sudut yang diambil Mohd Norfarhan Muhammad pada m-55.
Kelantan sekali lagi kempunan untuk mendapatkan gol pertama apabila kuisan Muhd Badhri pada m-61 hanya beberapa inci melepasi palang pintu gol pasukan tuan rumah. Sementara Indra Putra turut terlepas peluang untuk menjaringkan gol pada m-65 apabila tandukannya sedikit  tersasar sebelah kiri pintu gol Kedah.
Indra Putra sekali meniti detik kehampaan untuk menjaringkan gol apabila tampanannya pada m-70 hasil hantaran silang Mohd Norfarhan diselamatkan dua kali oleh Mohd Helmi Eliza.
Sementara Kedah turut memperolehi peluang menjaringkan gol pada m-75 kali ini menerusi rembatan jarak jauh Fiqri Md Isa tetapi terus ke dakapan Khairul Fahmi.
Biarpun dilihat menguasai perlawanan sehingga wisel penamat, namun barisan pemain Kelantan gagal menterjemahkan dalam bentuk jaringan memaksa kedua-dua pasukan sekadar berpuas hati seri tanpa jaringan sambil perhitungan 90 minit di Kota Bharu pada Sabtu ini bakal menentukan pasukan mana yang bakal layak ke pentas perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini.

KELANTAN MERENDAH DIRI


KOTA BHARU – Nada suara Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan kembali mengendur apabila berbicara tentang lawan yang bakal dihadapinya malam ini, Kedah dalam aksi separuh akhir pertama TM Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Sebaliknya beliau tetap merendah diri dalam menghadapi pasukan Kedah, lawan yang pernah mengecewakan Kelantan dalam saingan kempen Piala FA musim ini.
“Pertemuan malam ini menjanjikan satu perlawanan yang cukup sengit. Saya menghormati kemampuan barisan pemain muda pasukan Kedah. Mereka mempunyai kelebihan kerana beraksi ditempat sendiri dan juga sokongan padu peminat setia Hijau Kuning,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian sebelum bertolak ke Alor Setar tengahari semalam.
“Mereka mempunyai barisan pemain muda berkaliber yang sudah bersama sejak beberapa musim lalu. Walaupun terdapat beberapa muka baru musim ini tetapi semangat juang pemain muda mereka tidak boleh dipandang rendah. Kejayaan menjinakkan Terengganu dengan kemenangan 3-0 pada peringkat suku akhir membuktikan skuad kendalian Ahmad Yusoff ini bukan calang-calang pasukan.
“Apa yang penting dalam situasi perlawanan kalah mati seperti ini, pemain Kelantan harus mengekalkan aksi konsisten seperti perlawanan terdahulu, mengekalkan disiplin diatas padang serta memberi tumpuan seratus peratus terhadap perlawanan ini. Kalau elemen itu digabungkan, saya percaya kita boleh mendapat satu keputusan yang baik sebelum membuat perhitungan kedua di Kota Bharu,” katanya.
Sathianathan berkata, disebalik keghairahan para peminat kedua-dua pasukan menghitung nasib pasukan masing-masing, beliau tidak terlepas memikirkan kekusutan yang dihadapinya untuk menyenaraikan kesebelasan terbaik Kelantan pada perlawanan malam ini.
“Akmal Rizal (Ahmad Rakhli) kini mengalami demam dan sudah dua hari tidak menjalani latihan. Sementara pemain pertahanan, Mohd Rizal Fahmi (Abd Rosid) pula mengalami kecederaan. Seperti biasa, kita juga tanpa Norshahrul (Idlan Talaha) yang akan menjalani penggantungan perlawanan terakhir malam  ini. Itu masalah pasukan Kelantan sekarang.
“Ada bagus juga tanpa kelibat Norshahrul kerana beliau perlu diberi rehat yang cukup sebelum dikerah  bermain perlawanan kedua nanti. Pengganti beliau, Hairuddin Omar menggalas peranan tersebut dengan cukup baik dalam perlawanan lalu.
Sathianathan turut menamakan dua pemain muda Kedah iaitu Baddrol Bakhtiar dan Mohd Khyril Muhymeen Zamri antara pemain yang mampu memberi ancaman berbahaya kepada Kelantan sekalipun Kedah akan turun tanpa kapten, Mohd Sabri Mat Abu dan tonggak pertahanan Khairul Helmi Johari yang digantung perlawanan.
“Kedua-dua pemain ini perlu diberi perhatian oleh pemain pertahanan Kelantan. Andai benteng pertahanan kita leka mengawal pergerakan pemain ini, pasti aib menimpa Kelantan.
“Begitu pun saya mengingatkan kepada pemain saya bermain seperti biasa malam ini. Main macam biasa sepanjang 90 minit seperti menentang Selangor tempohari. Kita tetap mengamalkan corak permainan berorientasikan serangan. Yang penting kita akan bermain sebagai sebuah pasukan,” katanya.
Sementara itu Sathianathan sekali lagi mengingatkan kepada para penyokong Kelantan yang ke Alor Setar malam ini menjaga disiplin dan tingkah laku sebenar sebagai penyokong setia Kelantan.
“Saya menghargai peranan penyokong Kelantan yang selama ini berdiri teguh di belakang pasukan kita. Datanglah ke stadium malam ini dan menontonlah perlawanan dalam suasana yang menghiburkan tanpa sebarang insiden buruk. Beri sokongan moral kepada para pemain dan hindari pergaduhan,” katanya.

KOTA BHARU – Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu akan berubah wajah pada tahun hadapan apabila dilengkapi dengan papan keputusan elektronik yang baru menggantikan papan keputusan sedia ada sekarang.
Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, dianggarkan lebih RM1 juta diperlukan bagi memasang papan keputusan elektronik di stadium itu bagi menggantikan papan keputusan lama yang usang dan jauh ketinggalan zaman.
“Peruntukan lebih RM1 juta itu diluluskan oleh Kerajaan Pusat melalui Kerajaan Negeri. Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menguruskan soal tender dalam masa terdekat.
“Kerja-kerja pemasangan papan keputusan elektronik baru itu dijangka akan dimulakan pada Disember ini. Kita berharap ianya dapat digunakan bermula liga musim depan,” katanya ketika sidang akhbar, semalam.
Annuar berkata, Kafa turut mempunyai cadangan penambahbaikan antaranya berharap Kerajaan Negeri dapat mengkaji kemungkinan membina satu teres bertingkat di bahagian tempat duduk astaka dan tempat duduk terbuka berhadapan astaka.
“Tidak perlu peruntukkan yang besar bagi tujuan itu. Tidak perlu berpuluh-puluh juta, memadai sekitar lima hingga enam juta sahaja. Jumlah kerusi boleh ditambah sekitar RM10,000, saya fikir itu tidak ada apa-apa masalah.
“Saya yakin Kerajaan Negeri ada kemampuan untuk melaksanakannya. Harap Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan kerana Kerajaan Pusat tidak boleh buat sebab stadium ini adalah milik Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) di bawah Kerajaan Negeri,” katanya.
Menurutnya, Kafa sedia menilai satu opsyen untuk dikemukakan kepada kerajaan negeri berkaitan pengambilalihan pengurusan stadium tersebut.
“Oleh kerana sekarang kita membayar kepada kerajaan negeri mungkin sudah melebihi setengah juta, Kafa ingin membuat tawaran untuk menguruskan Stadium Sultan Muhammed Ke-IV pada musim akan datang.
“Sekiranya Kerajaan Negeri tidak ada keupayaan melakukan penambahbaikan, maka Kafa bersedia mengambil satu opsyen untuk menguruskan stadium termasuk menambah kapasiti tempat duduk, termasuk mengadakan kemudahan-kemudahan yang wajib seperti bilik persalinan, lampu limpah berdasarkan peraturan FAM untuk pasukan yang bertanding musim depan.
“Kemudahan di stadium kita masih banyak tidak memenuhi kriteria ditetapkan dan kita berharap ianya selesai menjelang Disember ini. Untuk itu, kita menawarkan opsyen kepada Kerajaan Negeri melakukan penambahbaikan dengan kita terus kekal membayar levi kepada mereka dan alternatif kedua, Kafa menguruskan stadium dengan melakukan penambahbaikan sendiri,” katanya